55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, misi SMART tamat bukan noktah pencarian

14 Sep 2026 • 11:59 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, misi SMART tamat bukan noktah pencarian

KUALA LUMPUR – Kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Nepal hari ini tidak menamatkan usaha mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan insiden banjir dan tanah runtuh di Nepal-Tibet.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menegaskan, status kesemua individu terbabit kekal tidak berubah sementara proses pencarian, pengesahan dan pengecaman diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa Nepal serta China.

“Berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KLN, SMART dijadual memberikan taklimat mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di Nepal selepas pasukan itu kembali ke tanah air.

Sepanjang berada di lapangan, pasukan berkenaan menjalankan pencarian darat dan tinjauan udara menggunakan dron di kawasan yang selamat serta dibenarkan pihak berkuasa tempatan.

Maklumat daripada SMART akan diteliti bersama perkembangan semasa yang diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan paling bersesuaian.

KLN berkata, pihak berkuasa Nepal masih melaksanakan operasi pencarian, pengesahan dan pengecaman mangsa bencana berkenaan.

Sebagai sokongan kepada operasi tersebut, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal selain menyerahkan sembilan dron kepada kerajaan negara itu menerusi Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDRRMA).

“Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal, membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga akan melakukan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan dan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

Pada masa sama, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China bagi mendapatkan perkembangan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas di negara berkenaan.

The post 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, misi SMART tamat bukan noktah pencarian appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved