58 kes kemalangan maut libat pemandu mabuk, dadah dalam tempoh dua tahun

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 11:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohammed Hasbullah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 58 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah direkodkan dalam tempoh dua tahun belakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, daripada jumlah itu, 27 kes direkodkan pada 2024, manakala 31 kes pada 2025.

"Walaupun peningkatan tersebut tidak terlalu ketara, setiap insiden melibatkan kehilangan nyawa adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.

"Kes-kes ini berpunca daripada tingkah laku yang sebenarnya boleh dielakkan. Justeru, JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, cabaran utama dalam menangani isu itu bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan di lapangan, sebaliknya ia berkait rapat dengan pembentukan kesedaran, tanggungjawab serta nilai moral dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Sikap segelintir individu yang masih memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah menjadi penyumbang utama kepada berlakunya kes-kes ini.

"Penyelesaian paling berkesan perlu bermula dari peringkat akar umbi melalui pembentukan disiplin diri yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelaksanaan sekatan jalan raya serta ujian saringan rawak terbukti antara pendekatan berkesan dalam membendung kesalahan berkenaan.

"Operasi tersebut bukan sahaja membolehkan pengesanan pesalah secara langsung, malah memberi kesan pencegahan kepada pengguna jalan raya.

"Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi turut meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” katanya.

Mengulas aspek perundangan, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak berdepan kekangan signifikan sama ada dari sudut peruntukan undang-undang mahupun prosedur siasatan.

"Kerjasama erat bersama Jabatan Peguam Negara memastikan setiap kes yang dirujuk untuk pendakwaan mendapat perhatian sewajarnya.

"Sokongan pihak pendakwaan membolehkan proses siasatan dan pendakwaan dijalankan dengan lebih lancar serta berkesan,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, beliau berkata, JSPT akan terus meningkatkan operasi sekatan jalan raya terutama pada waktu berisiko tinggi seperti malam dan hujung minggu.

Menurutnya, operasi khas bersepadu bersama agensi lain turut akan dipergiatkan bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh.

"Pada masa sama, kempen kesedaran akan diperkasakan melalui pendekatan lebih realistik dan berimpak bagi memberi kesedaran mendalam kepada masyarakat.

"Kolaborasi strategik bersama pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan juga akan diperkukuhkan bagi memperluaskan capaian mesej keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau menegaskan, JSPT kekal komited dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kecekapan siasatan serta memperhebat usaha advokasi keselamatan jalan raya.

"Semua usaha ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara dan insiden kehilangan nyawa akibat kecuaian dapat diminimumkan,” katanya.