KES kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol yang kembali berulang kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat.
Insiden terbaharu yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal sekali lagi membuka mata bahawa isu ini masih belum menemui titik penyelesaian yang benar-benar berkesan.
Dalam konteks ini, persoalan utama yang perlu diberi perhatian bukan sekadar kepada hukuman terhadap pesalah tetapi juga keberkesanan langkah pencegahan yang dilaksanakan.
Undang-undang sedia ada sememangnya memperuntukkan tindakan tegas terhadap pemandu mabuk, namun realitinya, kes seumpama ini masih terus berlaku tanpa menunjukkan penurunan yang signifikan.
Situasi ini memberi gambaran bahawa pendekatan sedia ada mungkin belum cukup menyeluruh.
Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh secara konsisten tanpa kompromi, termasuk memperluas operasi sekatan jalan raya, penggunaan teknologi pengesanan dan tindakan lebih tegas terhadap pesalah berulang.
Dalam masa yang sama, ketelusan dalam pelaksanaan hukuman juga penting bagi memastikan ia benar-benar memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
Selain itu, usaha pendidikan dan kesedaran awam perlu dipergiatkan secara berterusan, bukan sekadar bermusim.
Peranan semua pihak amat penting dalam menangani isu ini. Pengusaha premis hiburan, misalnya, boleh memainkan tanggungjawab sosial dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan alternatif kepada pelanggan.
Begitu juga dengan rakan dan ahli keluarga yang perlu lebih tegas dalam menghalang individu yang tidak berada dalam keadaan stabil daripada memandu.
Kesimpulannya, tragedi yang berlaku tidak sepatutnya dilihat sebagai insiden terpencil.
Sebaliknya, ia perlu menjadi peringatan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
Setiap kelalaian mempunyai harga yang mahal dan dalam banyak keadaan, harga itu dibayar dengan nyawa insan yang tidak berdosa.



