Pemandu mabuk: Perlu hukuman lebih tegas, penjara mandatori jika libat kematian

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lam Thye (gambar kecil)n berpendapat kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan lagi isu baharu, sebaliknya telah lama berlarutan dengan pelbagai kes dilaporkan dalam media sejak dahulu.

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap pemandu mabuk, khususnya dalam kes yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan lagi isu baharu, sebaliknya telah lama berlarutan dengan pelbagai kes dilaporkan dalam media sejak dahulu.

Menurutnya, walaupun pelbagai peringatan dan tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), insiden seumpama itu masih berulang dan terus mengancam keselamatan awam.

“Pemanduan secara mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

"Terdapat kes melibatkan kenderaan terbabas, bertembung dan mengakibatkan kematian, yang jelas tidak boleh diterima,” ujarnya.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat.

Beliau berkata, insiden kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu suspek menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Lam Thye menegaskan bahawa undang-undang berkaitan perlu diteliti semula supaya lebih tegas dan berkesan sebagai langkah pencegahan.

Mengulas cadangan segelintir pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang yang mencadangkan hukuman mati terhadap pesalah, beliau menyifatkan hukuman itu sebagai terlalu berat.

Namun, katanya, bagi kes membabitkan kematian akibat pemanduan mabuk, hukuman penjara secara mandatori adalah wajar dilaksanakan.

“Jika seseorang itu memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian, ia adalah satu kesalahan yang amat serius. Hukuman penjara mandatori adalah langkah yang sesuai,” tambahnya.

Pada Isnin, blok pembangkang mendesak kerajaan supaya mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata, cadangan itu dilihat perlu susulan insiden tragis di Klang pada Ahad yang sekali lagi meragut nyawa tidak berdosa akibat tindakan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, kejadian itu bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.