59 peratus kekosongan jawatan di Hospital Pasir Gudang diisi pada September ini-Exco

LocalHealth & Fitness
5 May 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 59 peratus kekosongan jawatan di Hospital Pasir Gudang diisi pada September ini-Exco
Ling Tian Soon pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, pada Selasa.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menyasarkan 59 peratus lagi kekosongan jawatan kosong di Hospital Pasir Gudang (HPG) akan dapat diisi pada September ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, ketika ini perjawatan di HPG sudah 41 peratus diisikan sejak beroperasi pada awal tahun ini.

Jelas beliau, secara keseluruhan terdapat 2,271 perjawatan tetapi buat masa kini hanya 929 perjawatan sudah diisi bersamaan 41 peratus.

“Buat masa ini 14 klinik pakar ataupun klinikal servis di HPG sudah beroperasi secara keseluruhan contohnya jabatan kecemasan, pembedahan am, pediatrik dan ortopedik.

“HPG mempunyai 304 katil dan pada masa kini 157 katil dalam Sembilan wad sudah beroperasi, kami belum cukup kakitangan (untuk membolehkan wad lain beroperasi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Selasa.

Pada Khamis lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam ucapan pembukaan sidang DUN bertitah agar pengoperasian HPG dapat di percepatkan.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, ketika ini Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru masih menampung jumlah pesakit di Pasir Gudang.

Tian Soon berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana membangkitkan masalah tersebut demi kepentingan dan keperluan rakyat.