
HARI ini, genap 59 tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi badan penting dalam memantau dan membanteras gejala rasuah, sekali gus terus memperkukuhkan usaha memelihara integriti serta tadbir urus di negara ini.
Dalam konteks ini, perjalanan SPRM selama hampir enam dekad bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya penuh dengan cabaran, perubahan dan evolusi dalam usaha memastikan integriti serta tatakelola kekal terjaga.
Susulan itu, ‘bahtera’ dinahkodai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman akan kekal berlayar laju meskipun landskap rasuah telah mengalami pelbagai perubahan dari tahun ke tahun.
Sedar akan hal itu, Abd. Halim menggariskan sebanyak Lima Teras Kepimpinan yang menjadi pasak utama pentadbirannya, sekali gus menjadi fokus hala tuju SPRM dalam membanteras jenayah rasuah.
Kata Abd. Halim, teras integriti tanpa kompromi kekal menjadi benteng utama memerangi rasuah dan tidak boleh dikompromi dengan apa jua alasan sama ada ketika membuat keputusan atau ketika menjalankan siasatan.
“Prinsip ini bukan sahaja bermaksud SPRM akan mengambil tindakan terhadap segala jenayah rasuah tanpa mengira pangkat, kedudukan atau latar belakang individu yang disiasat, sebaliknya integriti juga mesti bermula daripada dalam diri warga SPRM sendiri.
“Dalam erti kata lain, SPRM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan orang lain mematuhi prinsip antirasuah, tetapi kita sendiri mesti menjadi contoh kepada prinsip itu,” katanya pada sesi wawancara sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-59 di Putrajaya baru-baru ini.

Selain itu, aspek penguatkuasaan yang adil dan saksama turut menjadi teras kedua yang mana setiap tindakan dilakukan SPRM hendaklah berasaskan undang-undang, bukti dan prinsip keadilan selain tidak pilih kasih serta tanpa dipengaruhi kepentingan tertentu.
Untuk itu, Abd. Halim berkata, kewibawaan SPRM bergantung kepada keyakinan masyarakat bahawa undang-undang dilaksanakan secara profesional, telus dan saksama.
“Atas prinsip tersebut, SPRM kini menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah.
“Langkah ini antara lain bertujuan mengelakkan persepsi negatif terhadap individu yang masih berada pada peringkat siasatan dan belum diputuskan bersalah oleh mahkamah,” katanya.
Pada masa sama, prinsip pencegahan yang proaktif menjadi antara teras digariskan SPRM di mana perjuangan membanteras rasuah tidak hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kesalahan berlaku semata-mata.
Sebaliknya, SPRM perlu mengenal pasti kelemahan sistem, menutup ruang serta memperkukuh mekanisme pencegahan supaya risiko rasuah dapat ditangani sebelum ia menjadi lebih serius.
“Pendekatan proaktif ini penting kerana pencegahan rasuah tidak seharusnya bermula selepas sesuatu kes berlaku. Sebaliknya, risiko dan kelemahan yang boleh membuka ruang kepada rasuah perlu dikenal pasti lebih awal.
“Ini supaya tindakan pembetulan dapat dilaksanakan sebelum ia berkembang menjadi satu bentuk penyelewengan yang lebih serius dan menyebabkan kerugian besar,” katanya.

Atas faktor itu, jelas Abd. Halim, usaha menutup ruang kepada rasuah perlu diperkasa menerusi tindakan pencegahan menyeluruh termasuk memperkukuh pendidikan dan kesedaran masyarakat.
“Kita mahu masyarakat bukan sekadar tahu bahawa rasuah itu salah, tetapi memahami bagaimana rasuah boleh berlaku dan bagaimana mereka boleh mengelakkan diri daripada terjebak dengannya,” tegasnya.
Selain itu, selaras dengan perkembangan teknologi, SPRM turut menetapkan penerapan teknologi dan ketelusan sebagai teras keempat dengan memanfaatkan teknologi, pendigitalan dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh ketelusan tugas.
Kata Abd. Halim, dalam aspek penguatkuasaan pula, SPRM telah bergerak daripada pendekatan yang lebih reaktif kepada pendekatan proaktif dan berasaskan maklumat.
Melalui Intelligence Based Investigation (IBI) atau Siasatan Berasaskan Risikan, katanya, SPRM tidak lagi menunggu laporan untuk bertindak, sebaliknya berusaha mengenal pasti petunjuk, corak, hubungan dan risiko melalui pengumpulan serta analisis maklumat daripada pelbagai sumber.
“Dengan gabungan penggunaan data analitik, teknologi kecerdasan buatan atau AI dan sistem digital, ia mampu membantu pegawai penyiasat memproses maklumat dalam jumlah besar dengan lebih pantas.
“Ia termasuk mengenal pasti anomali, menjejaki aliran kewangan dan mengesan hubungan yang mungkin sukar dikenal pasti melalui kaedah konvensional.
“Namun, ingin ditegaskan, teknologi hanyalah alat. Keupayaan sebenar terletak pada kepakaran pegawai untuk menilai, mengesahkan dan mentafsir maklumat itu secara profesional serta memastikan setiap tindakan kekal berlandaskan undang-undang,” katanya.
Terakhir, SPRM menetapkan kepercayaan rakyat sebagai teras kelima berikutan elemen manusia itu tidak boleh dituntut, sebaliknya perlu dibina melalui tindakan, prestasi, integriti dan konsistensi.
Dalam hal ini, Abd. Halim mahu setiap pegawai SPRM memahami bahawa setiap tindakan dilakukan bukan sahaja mencerminkan diri sendiri, tetapi membawa nama dan imej keseluruhan institusi.
“Dalam konteks ini, SPRM menyedari bahawa kekuatan sesebuah institusi bukan hanya diukur melalui jumlah kes disiasat atau tindakan yang diambil, tetapi bergantung kepada sejauh mana institusi itu mampu mengekalkan integriti, profesionalisme dan kepercayaan rakyat.
“Dalam aspek memerangi rasuah, usaha ini tidak boleh digalas SPRM secara bersendirian. Ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, masyarakat serta rakan-rakan media,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post 59 tahun SPRM banteras rasuah, pertahan integriti appeared first on Kosmo Online.






