
SEBERANG PERAI – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memperluas penggunaan teknologi 5G di pelabuhan-pelabuhan di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, satu nota akan disediakan untuk diusulkan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan perancangan dan kerjasama antara kedua-dua kementerian itu diteliti bagi tujuan berkenaan.
Katanya, kerjasama tersebut akan memanfaatkan pengalaman sedia ada kedua-dua kementerian dalam menangani isu capaian internet, termasuk di sepanjang laluan kereta api kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membantu untuk menyelesaikan masalah internet di laluan-laluan utama seperti rel.
“Kita telah mengenal pasti sejumlah kawasan yang diuruskan oleh pihak KTMB, dan sepanjang laluan tersebut dari utara, timur sampai ke selatan Semenanjung, ada kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti tidak mempunyai internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Private 5G At The Harbour di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE
The post 5G diperluas ke pelabuhan seluruh negara appeared first on Kosmo Online.





