Global Halal School platform lahir lebih ramai profesional halal

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 4:53 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Global Halal School platform lahir lebih ramai profesional halal

BANGI – Pelancaran Global Halal School dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga profesional berpengetahuan dan berkemahiran bagi memperkukuh daya saing industri halal negara di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan halal menerusi peningkatan pengetahuan, kesedaran dan ilmu berkaitan bidang berkenaan.

“Global Halal School ini sudah pasti akan menjadi satu perkara yang sangat signifikan, memberikan sumbangan bagi mempersiapkan lebih ramai yang mempunyai pengetahuan, kesedaran dan juga ilmu di dalam halal ini.

“Ia juga merupakan satu pencapaian yang membanggakan, khususnya bagi sebuah institusi pendidikan tinggi swasta seperti Kolej Uniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH 2026) yang dianjurkan Kolej Uniti Port Dickson bersama Uniti Halal Centre di sini semalam.

Menurut Zulkifli, pembangunan tenaga profesional halal yang kompeten dan berintegriti penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja mengekalkan kedudukan dalam pensijilan halal, malah mampu mengembangkan industri berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, eksekutif halal memainkan peranan lebih luas daripada sekadar menguruskan dokumentasi atau memastikan syarikat memenuhi keperluan pensijilan, sebaliknya perlu memastikan prinsip halal diterapkan secara menyeluruh dalam operasi organisasi.

“Eksekutif halal bukan hanya melihat dari aspek dokumen, tetapi kita juga ingin melihat bagaimana mereka memainkan peranan dalam menterjemahkan roh dan semangat halal itu sendiri.

“Aspek integriti, kebersihan, kelestarian dan kesihatan perlu menjadi sebahagian daripada amalan pengurusan, termasuk dalam proses pengeluaran, rantaian bekalan serta penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan Kolej Uniti dan Uniti Halal Centre dalam bidang pendidikan halal, termasuk usaha memperkenalkan program Diploma Pengurusan Industri Halal bagi melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dalam sektor berkenaan.

Katanya, pendidikan dan latihan halal mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat antarabangsa, selaras dengan pengalaman Malaysia serta pengiktirafan terhadap sistem pensijilan halal negara.

“Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju halal global, kita juga perlu melihat pendidikan dan latihan halal sebagai satu bidang yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Zulkifli berkata, Malaysia perlu bergerak melangkaui pencapaian dalam pensijilan halal dengan memberi tumpuan kepada pengembangan industri, pengkomersialan produk dan peningkatan keupayaan eksport.

Jelasnya, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan modal insan bergerak seiring dengan keperluan pasaran serta cabaran persaingan global.

Usaha itu penting bagi membolehkan lebih ramai pemain industri tempatan meningkatkan keupayaan masing-masing, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

The post Global Halal School platform lahir lebih ramai profesional halal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved