
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kemalangan tragis mengorbankan enam sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 nyata mendapat perhatian apatah lagi kereta X50 terbabit dipercayai baru sahaja diambil dari pusat jualan di Juru, Pulau Pinang kira-kira jam 11 pagi hari yang sama.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 petang semalam (7 Jun) di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah, enam sekeluarga maut apabila kereta X50 yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah.
Memetik Bernama, abang ipar kepada Ahmad Fahim yang merupakan salah seorang mangsa, Ibrahim Ghazali menjelaskan kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lagi adik iparnya iaitu Ahmad Shafiq Ahmad Shukri yang juga merupakan seorang anggota polis ketika insiden berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: Kereta Baru Keluar Kedai, 6 Sekeluarga Maut Selepas Proton X50 Bertembung Lori
Terdapat Kekhilafan Maklumat, Polis Sahkan Ahmad Fahim Pemandu Proton X50
Walau bagaimanapun, polis sebentar tadi mengesahkan pemandu Proton X50 yang terlibat dalam kemalangan terbabit adalah Ahmad Fahim Ahmad Shukri.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, terdapat kekhilafan maklumat disebabkan keadaan Proton X50 berkenaan yang remuk.
Jelas Adzli, hasil maklumat lanjut mendapati Proton X50 terbabit dipandu oleh Ahmad Fahim yang juga pemilik kenderaan tersebut yang baru dibelinya semalam.
MOT Tunggu Laporan Penuh Siasatan Kemalangan
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menunggu laporan penuh kes kemalangan terbabit.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai punca insiden terbabit sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Kita masih menunggu siasatan (kemalangan) dijalankan. Kita beri ruang untuk pihak kita menjalankan siasatan lanjut.
“Kita tidak membuat kesimpulan awal,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Proton X50 Akan Dihantar Ke PUSPAKOM Untuk Siasatan
Terdahulu, Adzli memaklumkan Proton X50 berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut.
Hasil siasatan awal polis mendapati lori muatan tanah terbabit dipandu dengan kelajuan 60 kilomter sejam (km/j) dan hasil saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan adalah negatif.
Walau bagaimanapun, Adzli menjelaskan pemandu lori terbabit mempunyai tujuh rekod saman.
Kesemua Jenazah Selamat Dikebumikan
Dalam kemalangan tragis itu, enam sekeluarga termasuk Ahmad Fahim Ahmad Shukri maut apabila kenderaan X50 yang dinaiki mereka bertembung dengan lori membawa muatan tanah.
Lima mangsa yang lain adalah:
- Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27 tahun
- Nora Mohd Husin, 55 tahun
- Jamaliah Sannusi, 29 tahun
- Iskandar Affan Ibrahim, 7 tahun
- Seorang bayi enam bulan
Lima daripada enam mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, Merbok pada jam 10 pagi tadi manakala jenazah Iskandar Affan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq yang berusia 3 tahun cedara parah pada bahagian muka dan menerima rawatan di hospital.
Baca Artikel Berkaitan:
Kereta Baru Keluar Kedai, 6 Sekeluarga Maut Selepas Proton X50 Bertembung Lori






