Tragedi Sungai Petani: Polis Siasat Semua Aspek, Lori Dipandu 60km/j Ketika Kejadian

8 Jun 2026 • 6:59 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Tragedi Sungai Petani: Polis Siasat Semua Aspek, Lori Dipandu 60km/j Ketika Kejadian

ALOR SETAR – Polis menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga dalam kejadian di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian lori membawa muatan tanah itu hanya dipandu pada kelajuan 60 kilometer per jam (km/j).

“Selain itu, terdapat maklumat mengatakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terlibat dalam kejadian itu adalah kenderaan baharu yang baru diambil (dari pusat jualan kenderaan) pada pagi tadi.

“Kita akan tengok mungkin ada masalah, pemeriksaan akan dibuat secara menyeluruh di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pemandu Lori Negatif Dadah

Menurut beliau, pemandu lori berusia 47 tahun yang ditahan sejurus kejadian didapati negatif dadah.

“Walau bagaimanapun dia didapati mempunyai tujuh saman termasuk empat yang belum diselesaikan. Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanya 60 kilometer sejam.

“Permohonan reman ke atas pemandu lori terbabit akan dibuat di mahkamah Sungai Petani esok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adzli meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

“Janganlah kita buat spekulasi kerana ada yang secara peribadi WhatsApp kepada saya kata pemandu lori itu mabuk dan maklumkan kata berlainan bangsa.

“Jadi saya rasa ini adalah satu spekulasi yang sangat tidak bertanggungjawab. Saya maklumkan di sini bahawa pemandu lori dan keluarga terlibat berbangsa Melayu,” jelasnya.

Enam Ahli Keluarga Terkorban

Menurut laporan Kosmo! Online, enam mangsa yang terkorban dalam nahas itu ialah pemandu SUV berkenaan, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.

Turut maut ialah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat di sebuah hospital di Sungai Bakap serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan.

Seorang lagi anak pasangan itu iaitu Aulia Sofea, 3, dilaporkan cedera parah pada bahagian muka dan sedang menerima rawatan.

Tiga lagi mangsa yang maut ialah adik Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kedai telefon, ibunya Nora Mohd Husin, 55, serta Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang merupakan anak saudara kepada Ahmad Syafiq.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post Tragedi Sungai Petani: Polis Siasat Semua Aspek, Lori Dipandu 60km/j Ketika Kejadian appeared first on The Malaysian Update.