
SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan operasi pemindahan 623 pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina dari Depot Imigresen Papar dan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina, pada Khamis.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, memaklumkan kesemua PTI itu terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak berumur antara 11 bulan hingga 79 tahun. Daripada jumlah tersebut, 483 adalah lelaki dewasa, 80 perempuan dewasa, 35 kanak-kanak lelaki dan 25 kanak-kanak perempuan.
Operasi pemindahan ini mendapat kerjasama penuh daripada Kedutaan Republik Filipina, terutama dalam proses pengeluaran dokumen perjalanan.
Menurut Sh Sitti, setakat Januari 2025 hingga kini, seramai 3,993 warganegara Filipina telah dihantar pulang melalui pintu masuk di Sabah.
Secara keseluruhan, 4,834 pendatang asing telah terlibat dalam program pemindahan tahanan ke negara asal.
“Kesemua PTI terlibat dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Mereka telah menjalani hukuman penjara dan hanya dipindahkan selepas melengkapkan dokumen perjalanan masing-masing,” katanya.
Kesemua individu yang dihantar pulang akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.
JIM Sabah menegaskan ia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen.
Tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah, serta individu yang melanggar syarat pas atau permit.
Jabatan turut menasihatkan majikan supaya hanya mengambil pekerja asing melalui saluran sah mengikut undang-undang. Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PTI di negara ini.


