
Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan pemindahan seramai 709 pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina ke negara asal mereka.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan ini melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Kesemua PTI, termasuk kanak-kanak berusia seawal tiga bulan sehingga individu berumur 70 tahun, dihantar pulang menggunakan feri MV Antonia 1 melalui laluan laut ke Zamboanga City, Filipina.
Sejak awal tahun ini, seramai 2,700 warganegara Filipina dipindahkan dengan kerjasama Kedutaan Republik Filipina, yang menguruskan pengeluaran dokumen perjalanan (TD) bagi tahanan yang selesai menjalani hukuman penjara serta melengkapkan dokumentasi perjalanan mereka.
Menurut statistik terkini JIM Sabah, warganegara Filipina mencatat jumlah pemindahan tertinggi iaitu 2,700 orang diikuti oleh 733 warga Indonesia, 53 warga Pakistan, 32 warga China, tiga warga Vietnam dan tujuh individu dari negara lain, menjadikan jumlah setakat ini seramai 3,528 orang.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan pas dan permit imigresen.
“Majikan serta pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pihak jabatan turut menasihatkan semua majikan supaya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Operasi pemindahan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras keberadaan PTI di negeri ini.


