670 PTI dihantar pulang

12 Apr 2025 • 8:34 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan operasi pemindahan 670 pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina ke negara asal mereka pada Khamis, melibatkan Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kumpulan itu merangkumi individu berumur antara satu hingga 79 tahun, termasuk lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak.

“Bertindak atas dasar keprihatinan dan hak asasi manusia, kami bekerjasama dengan Kedutaan Republik Filipina dalam penyediaan dokumen perjalanan bagi 536 lelaki dewasa, 89 wanita dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 24 kanak-kanak perempuan untuk penghantaran pulang ke Zamboanga City, Filipina,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, sejumlah 3,370 warga Filipina telah dihantar pulang melalui pintu masuk di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan pemindahan tahanan warga asing kepada 4,198 orang.

Menurut Sh Sitti, kesemua PTI yang dipindahkan telah melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Tahanan telah menjalani hukuman penjara dan kemudiannya diproses untuk pemindahan setelah dokumen perjalanan lengkap.

“Mereka juga akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan kesalahan masing-masing,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas dan kemudahan imigresen.

Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah, termasuk individu yang melanggar syarat pas dan permit di bawah Akta Imigresen 1959/63.

SH Sitti juga menyeru majikan dan masyarakat menggunakan saluran sah untuk menggaji warga asing, selaras dengan undang-undang ditetapkan.