
HULU TERENGGANU: Sebanyak 65,855 aduan konflik manusia dan hidupan liar direkodkan di seluruh negara sepanjang 2021 hingga 2025 dengan Terengganu menyumbang 4,869 kes.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah berkenaan menunjukkan konflik antara manusia dengan hidupan liar terus menjadi cabaran yang perlu ditangani secara berterusan, terutama susulan perkembangan pembangunan yang semakin meluas.
Katanya, konflik berkenaan melibatkan pelbagai spesies hidupan liar termasuk gajah, harimau, burung dan kera yang berlaku terutama di kawasan penempatan serta aktiviti pertanian berhampiran habitat hidupan liar.
“Kalau kita melihat trend sejak beberapa tahun yang lalu, kes kejadian konflik antara manusia dan hidupan liar ini semakin meningkat.
“Ia berpunca daripada beberapa faktor seperti pembangunan yang lebih meluas dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Sekolah Angkat Malaysia Madani yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abdul Rashid di Kampung Basung, di sini, hari ini.
Sementara itu, Arthur berkata, kos bagi memindahkan seekor gajah yang terlibat dalam konflik dianggarkan sekitar RM68,000, bergantung kepada operasi yang dijalankan.
Beliau berkata, proses pemindahan gajah dilakukan dari semasa ke semasa di seluruh negara bagi memastikan keselamatan manusia terjamin selain mengelakkan haiwan berkenaan terus terdedah kepada konflik.
“Kos pemindahan gajah ini agak mahal, sekitar RM68,000 untuk seekor gajah. Tetapi kita perlu mengimbangi antara keselamatan orang awam, keperluan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM700,000 diperuntukkan Perhilitan bagi melaksanakan inisiatif Kampung Angkat Madani (KAM), penglibatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sekolah Angkat Madani (SAM) di Terengganu bagi tahun ini.
Beliau berkata, Kampung Basong dipilih sebagai KAM Jabatan Perhilitan manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setebu pula dipilih sebagai SAM bagi 2026.
Menurutnya, pemilihan Kampung Basung amat signifikan kerana hubungan erat antara Perhilitan dengan komuniti setempat telah lama terjalin, khususnya dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar termasuk konflik gajah.
“Hubungan ini akan terus diperkukuh melalui inisiatif KAM demi memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan dan kelangsungan hidup masyarakat terus terpelihara.
“Inisiatif ini bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya menjadi wadah untuk memperkukuh kepercayaan, kebersamaan dan tanggungjawab bersama antara PERHILITAN dengan masyarakat dalam memelihara khazanah alam negara,” katanya.
– UTUSAN
The post 65,855 aduan konflik hidupan liar dalam lima tahun appeared first on Utusan Malaysia.






