
JOHOR BAHRU – Seramai tujuh pekerja pembungkusan ikan menarik nafas lega selepas mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan mengedar heroin lebih 11 kilogram, lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakimanan Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh, Woon Kim Foo, 48; Lee Kok Yeng, 46; Cheong Suan Nean, 50; Tan Teck Joo, 55; Gan Poh Guan, 45; Tay Choon Hua, 48 dan Cheng Tee Tee, 56, bersama seorang lagi yang sudah meninggal dunia, Wong Yit Liang didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan berat bersih 11,806 gram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tuah 4, Taman Tuah, Pekan Nenas, Pontian, kira-kira pukul 8.30 pagi, 6 November 2021.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang lima belas kali, jika sabit kesalahan.
Dalam hujahan penghakiman, Abdul Fareed berkata, hasil prosiding perbicaraan penuh, terdapat keterangan yang menimbulkan kelompangan dalam kes pendakwaan, ia termasuk kegagalan memanggil saksi penting.
“Selain daripada tangkapan lapan orang tertuduh di premis terlibat, terdapat tangkapan tiga orang lelaki dan seorang wanita di tempat-tempat berasingan berkait dengan rampasan dadah itu.
“Tiga lelaki itu kemudian ditahan di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK), manakala wanita dibebaskan, namun begitu keempat-empat mereka tidak dikemukakan sebagai saksi pendakwaan.
“Figura penting dalam rampasan ini adalah individu yang dikatakan penyewa rumah berkenaan dan beliau juga yang mengaturkan pengangkutan untuk penghantaran ikan, namun sebagai seorang yang boleh menjawab banyak persoalan yang timbul berhubung rampasan, tetapi tidak dapat dikemukakan sebagai saksi,” katanya.
Abdul Fareed turut berhujah, jumlah kasar dadah ketika rampasan menunjukkan perbezaan ketara dengan jumlah bersih yang sebenarnya, malah pendakwaan tidak dapat membuktikan siapakah individu sebenar yang mangawal dadah yang ditemui di premis berkenaan.
“Mengenai berat dadah yang dirampas, pegawai tangkapan mengatakan berat kasar adalah 20,410 gram, namun mengakui penimbangan tidak dilakukan di hadapan tertuduh, manakala berat yang ditimbang oleh ahli kimia adalah 17,636.7 gram, ia berkurangan sebanyak hampir 14 peratus.
“Manakala, berat bersih adalah 11,806 gram ia hampir separuh daripada berat kasar yang dinyatakan oleh saksi, namun tiada sebarang penjelasan diberikan berkenaan dengan perbezaan berat dadah yang ketara ini.
“Pegawai tangkapan juga mengatakan beliau telah memerhatikan beberapa orang individu melakukan aktiviti memasukkan sesuatu ais batu ke dalam kotak polistirena selama 10 minit, namun tidak dapat mengenal pasti apakah yang dimasukkan itu dan siapakah yang memasukkan dadah berkenaan ke dalam kotak-kotak berkenaan,” jelasnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir, manakala Kim Foo, Kok Yeng, Suan Nean dan Teck Joo diwakili peguam R Rajasegaran dan Poh Guan, Choon Hua, Tee Tee serta Yit Liang diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar, Zali Shaari dan Nurainaa Kamilah Zalizan.
Yit Liang dilaporkan meninggal dunia di penjara pada 31 Ogos 2025, ketika kes sedang dalam proses perbicaraan sebelum keputusan diberikan.
Seramai enam saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 2022. – KOSMO! ONLINE
The post 7 lelaki lega lepas, bebas kes edar 11.8kg heroin appeared first on Kosmo Online.






