
Tujuh pemancing termasuk seorang tekong dilaporkan hilang selepas gagal kembali ke jeti Sementa, Kapar, di sini, selepas menjalankan aktiviti memancing di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam, semalam.
Kumpulan berkenaan dilaporkan bertolak dari jeti pada jam 8.20 pagi dan sepatutnya kembali selewat-lewatnya pada jam 8.30 malam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan kumpulan itu menerusi talian MERS 999 pada jam 3.35 pagi.
Susulan laporan berkenaan, aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan pada jam 3.40 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 5 pagi.
“Pencarian meliputi kawasan seluas 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian melalui udara meliputi kawasan seluas 509.6 batu nautika persegi di sekitar perairan One Fathom Bank.
“Operasi masih giat dijalankan berikutan ketujuh-tujuh pemancing termasuk tekong masih belum dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR turut membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang serta Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang.
Antara aset yang digunakan ialah Bot Penggalang 1, pesawat udara CL415MP (Bombardier), aset RH16 Pasukan Polis Marin serta bot aluminium milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Baca juga:Pihak berkuasa masih meneruskan operasi pencarian bagi mengesan kesemua tujuh pemancing yang dilaporkan hilang.




