Tujuh pemancing hilang, kali terakhir dikesan petang semalam

14 Sep 2026 • 11:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Tujuh pemancing hilang

KLANG: Tujuh pemancing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di laut didakwa dilihat kali terakhir berada di sekitar kawasan Batuan Kencing kira–kira pukul 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, sebelum itu mereka keluar ke laut dari Jeti Sementa kira-kira pukul 8.20 pagi dengan menaiki sebuah bot fiber.

Katanya, tujuh lelaki termasuk seorang tekong itu sepatutnya dijangka pulang pada petang hari yang sama.

“Sehingga pukul 7 malam hari ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi hari pertama ditangguhkan dan akan disambung semula esok mulai pukul 7 pagi dengan penyelarasan bersama semua agensi yang berkaitan.

“Setakat kenyataan ini dikeluarkan, bot berkenaan serta kesemua tujuh lelaki tersebut masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua individu itu dilaporkan hilang di perairan berhampiran Pulau Ketam selepas keluar memancing menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa, Kapar, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan pada pukul 3.35 pagi.

Jelasnya, susulan laporan diterima pihaknya oleh seorang lelaki tempatan pada awal pagi tadi, polis membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jeti Sementa dekat Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar, di sini bagi menyelaras operasi.

Operasi SAR digerakkan dengan penglibatan agensi lain seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dengan memberikan ruang kepada pasukan penyelamat untuk melaksanakan operasi dengan lancar.

“Polis turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini bolehlah menghubungi pihak polis yang berdekatan. Sebarang perkembangan terkini berkaitan operasi SAR ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tujuh pemancing hilang, kali terakhir dikesan petang semalam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved