Operasi mencari kumpulan pemancing hilang digerakkan - Maritim Malaysia

14 Sep 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Operasi mencari kumpulan pemancing hilang digerakkan - Maritim Malaysia
Maritim Malaysia melaksanakan SAR bagi mengesan sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pintu Gedong, Klang pada Isnin. Gambar kecil: Abdul Muhaimin

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menggerakkan aset dan keanggotaan dalam operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan sekumpulan tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di Perairan One Fathom Bank di sini pada Isnin.

Operasi pencarian digerakkan bersama tiga agensi penguatkuasaan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.35 pagi berhubung kehilangan kesemua mangsa setelah keluar dari Jeti Sementa.

"Susulan daripada laporan tersebut, aset-aset menyelamat telah mula diatur gerak ke lokasi kejadian.

"Operasi Carilamat telah diaktifkan secara rasmi pada jam 5.00 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bagi melancarkan operasi pencarian, aset-aset laut dan udara telah digerakkan secara bersepadu di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan kesemua mangsa.

Jelasnya, tumpuan sektor pencarian aset laut kini meliputi keluasan 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian melalui udara merangkumi keluasan 509.6 batu nautika persegi di perairan One Fathom Bank.

"Aset-aset yang terlibat dalam operasi ini terdiri daripada Bot PENGGALANG 1 dan pesawat udara CL415MP (Bombardier) daripada Maritim Malaysia, bot RH 16 milik PPM serta sebuah bot daripada pihak bomba," ujarnya.

Kata beliau, operasi kini sedang giat diteruskan susulan ketujuh-tujuh pemancing termasuk tekong bot tersebut masih gagal dihubungi.

"Sebarang perkembangan terkini mengenai operasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved