70 peratus pindaan Akta Mara fokus tadbir urus korporat - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
14 May 2026 • 5:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 70 peratus pindaan Akta Mara fokus tadbir urus korporat - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi ketika berucap ketika sesi Konsultasi Awam RUU Mara 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Image from: 70 peratus pindaan Akta Mara fokus tadbir urus korporat - Asyraf Wajdi
Tetamu kenamaan dan peserta bergambar sebaik selesai sesi libat urus Konsultasi Awam RUU Mara 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis

KUALA LUMPUR - Kira-kira 70 peratus cadangan pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara)1996 akan memberi fokus kepada aspek tadbir urus korporat yang baik sebagai langkah untuk memperkukuhkan organisasi berkenaan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.

Beliau berkata, asas lain perubahan besar melalui Rang Undang-Undang (RUU) Mara 2026 itu dibuat kerana akta sedia ada dilihat masih berlegar dalam kerangka tadbir urus tahun 1960-an.

“Mara hari ini menguruskan RM23 bilion nilai aset dengan 345 institusi pendidikan selain sektor pembangunan usahawan dan pelaburan.

“Maka, RUU ini perlu dalam konteks pemisahan kuasa yang mengatur dan mengawal selia urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi, bawa elemen semak dan imbang.

“Bagi tujuan itu, pindaan itu antara lain melibatkan cadangan mewajibkan pewujudan organ tadbir urus seperti Jawatankuasa Audit Mara, Jawatankuasa Pelaburan Mara, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus Mara serta Jawatankuasa Risiko Mara,” katanya.

**media[3520706]**

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika sesi Konsultasi Awam RUU Mara 2026 di salah sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, pindaan RUU Mara 2026 itu yang akan dibawa ke Majlis Jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen.

Tambahnya, tindakan itu amat kritikal bagi mengelakkan sebarang salah laku, manipulasi demi kepentingan individu tertentu, kecuaian atau penyimpangan tata kelola kewangan pada masa hadapan.

“Perincian mengenai komposisi dan peranan setiap jawatankuasa tersebut perlu dijelmakan secara jelas dalam akta bagi mengelakkan berlakunya sebarang penyimpangan atau pertindihan peranan.

“Langkah ini semua penting kerana pemimpin boleh datang dan pergi, Pengerusi Mara boleh datang dan pergi, ahli majlis boleh datang dan pergi, tetapi institusi Mara itu mesti kekal utuh dengan tadbir urus yang tersusun dan teratur,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menjelaskan, kerangka tadbir urus akta sedia ada memberikan pemusatan kuasa terlalu besar kepada Pengerusi dan Majlis Mara dan memerlukan perubahan dibuat.