75 belia Malaysia berpeluang raih diploma TVET berkembar Malaysia-China mulai Disember

10 Nov 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

75 belia Malaysia berpeluang raih diploma TVET berkembar Malaysia-China mulai Disember Image from: 75 belia Malaysia berpeluang raih diploma TVET berkembar Malaysia-China mulai Disember liza10/11/2026 - 12:55 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov – Seramai 75 belia Malaysia berpeluang mengikuti program diploma berkembar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dan China menerusi pengambilan sulung yang dijadualkan bermula Disember 2026.

 

Program Diploma Berkembar Malaysia-China itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Mahir (Belia Mahir) bagi menyediakan latihan kemahiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pendedahan kepada teknologi industri maju.

 

Pengambilan pertama itu menyasarkan 75 peserta dalam tiga bidang utama iaitu Teknologi Automotif Kenderaan Elektrik (EV), Teknologi Mekatronik dan Teknologi Logistik.

 

Program berkenaan menggunakan model latihan dua tambah satu, membabitkan dua tahun pengajian di Malaysia diikuti setahun latihan berasaskan industri di China menerusi pendekatan Teaching Factory (TEFA).

 

Pendekatan TEFA yang digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan vokasional China menggabungkan latihan praktikal industri dengan pembelajaran di dalam kelas bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses pembuatan, penggunaan teknologi serta keperluan sebenar di tempat kerja.

 

Peserta akan mengikuti laluan pengajian yang menghubungkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dengan diploma TVET China, sekali gus memberi pendedahan kepada kelayakan dan piawaian kemahiran kedua-dua negara.

 

Tiga institusi Malaysia jalin kerjasama dengan China

Program perintis itu membabitkan tiga kerjasama antara institusi TVET Malaysia dan China. Bagi bidang Teknologi Automotif EV, Kolej TVET Belia Mahir akan bekerjasama dengan Anhui University of Applied Technology di China.

 

Sementara itu, bidang Teknologi Mekatronik ditawarkan menerusi kerjasama Kolej Dayatech di Subang dengan Hebei Institute of Mechanical and Electrical Technology.

 

Bagi bidang Teknologi Logistik pula, Tech Terrain College di Shah Alam akan bekerjasama dengan Taizhou Vocational College of Science & Technology.

 

Pembiayaan PTPK dan biasiswa penuh di China

Belia Mahir berkata, peserta turut diberikan latihan bahasa Mandarin sebelum berangkat ke China bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran, berkomunikasi serta menjalani latihan praktikal industri.

 

Dari segi pembiayaan, bantuan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) disediakan bagi tempoh dua tahun latihan di Malaysia, tertakluk kepada kelayakan peserta dan kelulusan pembiayaan.

 

Bagi tahun terakhir latihan di China, peserta akan menerima biasiswa penuh. Program itu dijangka membuka laluan kepada belia Malaysia untuk memperoleh latihan kemahiran dan pengalaman industri antarabangsa, khususnya dalam bidang automotif elektrik, mekatronik serta logistik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved