Lelaki 16 rekod jenayah ditembak di kepala

9 Oct 2026 • 1:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki 16 rekod jenayah ditembak di kepala

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, rogol dan samun cedera ditembak di kepala selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Gertak Merah, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 28 tahun yang memandu kereta Honda City secara melulu dikejar polis sejauh kira-kira satu kilometer sebelum kenderaannya merempuh beberapa kenderaan awam lain.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan berkenaan selepas suspek dipercayai cuba melarikan diri.

“Satu tembakan mengenai suspek di bahagian kepala, manakala satu lagi mengenai kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek lelaki tempatan itu cedera dalam kejadian berkenaan, manakala rakan wanitanya berusia 29 tahun yang berada di dalam kenderaan sama turut ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, polis menemukan tujuh paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi serta 17 katrij vape yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis ketamine.

Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM6,350.

Ab. Rahaman berkata, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk dadah, samun berkumpulan, rogol dan mencuri kenderaan.

Rakan wanitanya pula mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, Kosmo! melaporkan kejadian tembakan berlaku di Jalan Gertak Merah berhampiran pintu masuk utama Zoo Johor, di sini. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki 16 rekod jenayah ditembak di kepala appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved