
PUTRAJAYA: Seramai 77 rakyat Malaysia yang dikesan berada di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses repatriasi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun setakat ini terdapat 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana yang berlaku di negara berkenaan.
“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) telah memaklumkan bahawa terdapat 55 orang warganegara Malaysia yang masih belum dapat dikesan, manakala terdapat 77 orang rakyat Malaysia yang telah dikesan di Tibet dan Nepal.
“Mereka telah dibawa ke Kathmandu untuk proses repatriasi untuk dipulangkan, untuk kembali ke Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Pada 26 Ogos lalu, runtuhan glasier besar-besaran dan tanah runtuh dipercayai menjadi punca banjir kilat dahsyat yang melanda sempadan Nepal-China, menurut siasatan awal sekumpulan saintis.
Bencana itu menenggelamkan bandar, jalan raya dan jambatan, selain meragut banyak nyawa apabila arus deras membawa bersama ais dan batuan merempuh kawasan pergunungan
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut mengambil maklum keputusan Perdana Menteri meluluskan sumbangan sebanyak AS$1 juta bagi membantu kerja-kerja kemanusiaan di Nepal.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan seorang Menteri Bangladesh bahawa Malaysia merancang untuk mengambil 200,000 pekerja daripada negara itu, Fahmi menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan lah pendirian rasmi kerajaan Bangladesh.
“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia mengenai perkara tersebut dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh.
“Ia telah dikeluarkan oleh seseorang, saya difahamkan seorang ‘junior minister’. Jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh. Ini dimaklumkan oleh Menteri Kesuma, jadi ia bukan pendirian rasmi,” katanya. – UTUSAN
The post 77 rakyat Malaysia dibawa ke Kathmandu untuk proses repatriasi sebelum bawa pulang appeared first on Utusan Malaysia.






