
KUALA LUMPUR 12 Dis – Rakyat Malaysia mencatatkan tahap keyakinan tertinggi didunia terhadap profesion perakaunan dengan 79% responden menyatakan akauntan profesional sebagai sumber maklumat cukai yang dipercayai, menurut kajian ‘Public Trust in Tax 2025: Asia and Beyond’.
Kajian itu dijalankan oleh beberapa organisasi antarabangsa yang berperanan dalam bidang perakaunan dan ekonomi antaranya Persatuan Akauntan Bertauliah Profesional Antarabangsa (ACCA), Persekutuan Antarabangsa Akauntan (IFAC), Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CA ANZ) dan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Kajian itu menilai tahap keyakinan orang awam terhadap akauntan profesional dan sistem cukai, serta melihat isu berkaitan ketelusan, keadilan, penggunaan teknologi digital dan persepsi rasuah dalam kalangan pembayar cukai melibatkan lebih 12,000 responden di 29 negara, termasuk Malaysia.
Hasil tinjauan itu menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai keyakinan lebih kukuh terhadap sistem cukai berbanding purata global.
Sebanyak 52% responden percaya sistem cukai di Malaysia adil, manakala 52% lagi bersetuju bahawa hasil cukai dibelanjakan untuk kebaikan awam.
Purata sentimen ini jauh lebih tinggi berbanding Eropah Barat di mana hanya 30% responden bersetuju dana digunakan untuk kebaikan awam.
Dalam konteks serantau, Malaysia berada di kedudukan teratas Asia Tenggara dari segi keyakinan terhadap akauntan, menunjukkan kebergantungan unik terhadap nasihat profesional dalam urusan cukai.
Walaupun isu rasuah masih menjadi cabaran, hanya 63% rakyat Malaysia menyatakan rasuah sebagai faktor utama yang mempengaruhi pandangan mereka terhadap cukai, lebih rendah berbanding Indonesia (81%) dan Filipina (84%), tetapi masih lebih tinggi daripada Singapura (54%).
Selain itu, rakyat Malaysia melihat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pihak yang memainkan peranan seimbang antara menyokong pembayar cukai dan menguatkuasakan undang-undang.
Sebanyak 52% responden bersetuju dengan peranan seimbang ini, berbeza dengan pasaran lain yang melihat pihak pemungut cukai lebih sebagai penguatkuasa semata-mata.
Keberhasilan sistem cukai digital di Malaysia turut menyumbang kepada tahap keyakinan tinggi.
Dengan penembusan internet mencapai 98% di kalangan responden, rakyat Malaysia menyokong penggunaan platform digital LHDN untuk pengisian cukai dan melihat kecekapan sistem digital sebagai faktor utama memperkukuh keyakinan terhadap sistem cukai negara.
Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim berkata, Malaysia berada pada kedudukan unik dalam ASEAN dengan keyakinan tinggi terhadap profesional walaupun kebimbangan rasuah masih lebih tinggi daripada Singapura.
“Peranan akauntan amat kritikal dalam memimpin pelaksanaan reformasi seperti e-Invois dan memastikan keyakinan awam diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif ACCA, Helen Brand berkata, keyakinan awam yang kukuh terhadap sistem cukai di Asia memberi pengajaran berharga kepada dunia.
“Rakyat melihat cukai sebagai sumbangan kepada masyarakat, bukan sekadar kos, dan keyakinan itu perlu disokong melalui ketelusan, keadilan dan manfaat yang jelas kepada pembayar cukai,” katanya.- DagangNews.com


