8,000kg minyak peket ‘dikotorkan’, jual semula sebagai minyak terpakai

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 12:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 8,000kg minyak peket ‘dikotorkan’, jual semula sebagai minyak terpakai

MELAKA – Taktik licik sindiket memproses kira-kira 8,000 kilogram minyak masak peket bersubsidi sebelum dijual sebagai minyak terpakai terbongkar selepas sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai diserbu penguat kuasa, kelmarin.

Serbuan dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka kira-kira pukul 11 pagi, hasil risikan pasukan ibu pejabat KPDN.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan, seramai tujuh individu terdiri daripada enam warga asing dan seorang warganegara tempatan berusia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an ditahan.

“Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan minyak peket bersubsidi menjadi minyak terpakai di premis berkenaan.

“Anggaran sebanyak 8,000 kilogram minyak peket sudah diproses dan minyak terpakai berkenaan dipercayai mempunyai nilai pasaran sekitar RM3 hingga RM5 sekilogram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat mendapati bekalan minyak peket berkenaan dipercayai diperoleh dari sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke premis tersebut untuk diproses.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati dua jenama minyak masak peket bersubsidi digunakan dalam kegiatan ini.

“Minyak peket berkenaan diproses dengan cara digunting sebelum dibakar bersama plastik dan minyak yang terhasil dikumpulkan dalam bekas besar di premis,” katanya.

Tambahnya, bahan tersebut kemudiannya disedut menggunakan lori sebelum dibawa keluar untuk dijual sebagai minyak terpakai.

Ujarnya lagi, premis berkenaan dipercayai berselindung sebagai tempat memproses baja bagi mengaburi kegiatan sebenar yang dijalankan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama, sumber bekalan serta pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan ini termasuk bagaimana bekalan diperoleh dan ke mana minyak terpakai berkenaan dipasarkan.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Ujarnya, mereka yang ditahan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE

The post 8,000kg minyak peket ‘dikotorkan’, jual semula sebagai minyak terpakai appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved