
KUALA LUMPUR: Syarikat beroperasi di negara ini perlu menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus pekerja sepenuh masa dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketetapan dalam syarat lesen pengilang itu tertakluk kepada pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM).
Katanya, syarikat yang terus bergantung kepada buruh berkemahiran rendah akan berdepan peningkatan kos akibat dasar pelepasan berperingkat.
“Syarat lesen pengilang menetapkan supaya guna tenaga sepenuh masa syarikat sekurang-kurangnya terdiri daripada 80 peratus warganegara Malaysia tertakluk kepada pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai perancangan kerajaan untuk memindah keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi.
Hong Pin turut ingin mengetahui kriteria menentukan industri terlibat, jangka masa pelaksanaan serta langkah kerajaan memastikan ekosistem dan daya tahan rantaian bekalan negara tidak dilemahkan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, penilaian lesen pengilang turut menetapkan Nisbah Pelaburan Modal Sepekerja (CIPE) sekurang-kurangnya RM140,000 iaitu nilai pelaburan modal bagi setiap pekerja.
“Selain itu, pemberian insentif cukai menerusi Kerangka Insentif Baharu (NIF) beralih sepenuhnya kepada pendekatan berasaskan hasil yang dicapai.
“Penilaian itu menggunakan kad skor yang dipandu oleh Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya. – UTUSAN
The post 80 peratus pekerja syarikat mesti rakyat tempatan appeared first on Utusan Malaysia.






