818 ladang di Malaysia guna sistem pertanian pintar – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

07/10/2025 - 11:05
Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Okt – Sebanyak 818 ladang di seluruh negara telah menggunakan sistem pertanian pintar merentasi subsektor tanaman, akuakultur dan ternakan ayam.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, data itu merangkumi 118 usahawan di bawah Projek Menaiktaraf Sistem Pengairan Pintar Berteknologi Internet Kebendaan (IoT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian.
“Ini termasuk 700 ladang melalui program Digital AgTech hasil kolaborasi strategik bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Transformasi ini dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden berteraskan automasi dan pendigitalan dalam sektor agromakanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual dan meningkatkan produktiviti,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta statistik dan peratusan ladang pertanian yang telah mengguna pakai sistem automasi dan pendigitalan serta sasaran kementerian dalam perluasan penggunaan teknologi agroteknologi menjelang tahun 2030.
Tambah Kementerian, antara inisiatif utama yang akan diteruskan termasuk pelaksanaan Program Modenisasi Pembangunan Teknologi, Mekanisasi dan Automasi yang memfokuskan kepada penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) seperti IoT dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, kementerian akan meneruskan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan pemindahan serta adaptasi teknologi inovatif dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Bagi memperkukuh sokongan kewangan kepada peladang, Agrobank turut menawarkan kemudahan pembiayaan untuk pemerolehan agroteknologi, termasuk teknologi digital, mekanisasi dan automasi.
“Dalam masa sama, KPKM melalui jabatan dan agensi di bawahnya akan menyediakan kursus teknikal secara berterusan bagi mempertingkatkan keupayaan modal insan dalam sektor pertanian agar kekal relevan dengan kemajuan teknologi.
“Sinergi antara program, kolaborasi dan latihan ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan agroteknologi serta memacu produktiviti sektor agromakanan negara,” kata kementerian itu.
KPKM yakin langkah tersebut akan mentransformasi sektor pertanian ke arah pertanian moden dan berdaya saing sepenuhnya menjelang tahun 2030. - DagangNews.com
standard



