1,254 syarikat pemula terima pembiayaan sebanyak RM279.3 juta setakat 31 Ogos 2025 - MOSTI

07/10/2025 - 11:36
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Okt – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi di bawahnya, Cradle Fund Sdn. Bhd terus memperkukuh pembangunan syarikat pemula tempatan dengan menyalurkan pelbagai skim geran sejak tahun 2003.
MOSTI berkata, antara skim utama yang ditawarkan ialah CIP SPARK dan CIP SPRINT untuk menyokong pembangunan prototaip, perluasan pasaran serta pengkomersialan produk berasaskan teknologi.
Kementerian itu berkata, geran yang disalurkan oleh Cradle memberi keutamaan kepada syarikat pemula yang menunjukkan potensi pertumbuhan tinggi, khususnya dalam bidang teknologi dan penyelesaian inovatif.
“Sehingga 31 Ogos 2025, Cradle telah membiayai sebanyak 1,254 syarikat pemula dengan jumlah kelulusan pembiayaan berjumlah RM279.3 juta.
“Lebih membanggakan, syarikat-syarikat penerima geran Cradle turut berjaya menarik pembiayaan lanjutan bernilai RM1.6 bilion, mewujudkan 82,320 peluang pekerjaan baharu serta menyumbang RM1.02 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” kata kementerian dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai keberkesanan geran di bawah MOSTI untuk syarikat pemula di negara ini.
Tambah kementerian, bagi memastikan dana itu benar-benar memberi manfaat kepada syarikat berpotensi tinggi, Cradle melaksanakan proses penilaian projek yang telus dan menyeluruh, selain mengguna pakai mekanisme penyaluran dana secara berperingkat.
“Pendekatan ini memastikan setiap syarikat hanya menerima dana selepas mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam perjanjian pembiayaan.
“Selain sokongan kewangan, Cradle turut menyediakan bantuan bukan kewangan seperti padanan pelabur dan akses kepada rangkaian ekosistem industri yang luas bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat,” katanya.
MOSTI menegaskan pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap geran yang disalurkan bukan sahaja membantu pembangunan syarikat pemula, tetapi turut mengukuhkan ekosistem inovasi negara secara mampan. - DagangNews.com
standard




