Bank Negara Malaysia lancar RENTAS+, sistem pertama seumpamanya di ASEAN

07/10/2025 - 18:31
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 7 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan RENTAS+, versi terkini ditambahbaik kepada sistem penyelesaian pukal masa nyata (RTGS) sedia ada.
RENTAS, atau “Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities”, mula diperkenalkan pada 1999 dan telah menyelesaikan transaksi bernilai RM73.63 trilion pada tahun 2024 bersamaan 45 kali Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Sistem ini juga merupakan depositori sukuk terbesar di dunia dengan pegangan bernilai AS$300 bilion, sekali gus menjadikannya antara lima depositori bon terbesar di Asia.
RENTAS+ yang dibangunkan sepenuhnya pasukan dalaman bank pusat menggunakan teknologi awan moden membolehkan pemindahan dana dan penyelesaian pembayaran antara bank dijalankan secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
Inisiatif ini menjadikan Malaysia negara pertama dalam kalangan ASEAN yang melaksanakan sistem RTGS yang beroperasi tanpa henti sepanjang masa.
BNM dalam kenyataan hari ini berkata, RENTAS+ memperkukuh infrastruktur pasaran kewangan dan memastikan penyelesaian transaksi yang lebih cekap serta selamat.
Menurut bank pusat itu, peluasan fungsi RENTAS membolehkan institusi kewangan menguruskan risiko kredit dan risiko penyelesaian dengan lebih baik, sejajar dengan pertumbuhan pesat dalam urus niaga pembayaran runcit segera.
“Sejak tahun 2024, jumlah dan nilai transaksi pembayaran runcit harian meningkat masing-masing sebanyak 49% dan 22%.
“Bagi menyokong penyelesaian sepanjang masa ini, BNM turut memperkenalkan kemudahan mudah tunai automatik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, menggunakan instrumen perjanjian belian balik (repo) dan perjanjian jual dan beli balik (SBBA),” kata kenyataan itu.
Sebelum pelaksanaan RENTAS+, pembayaran runcit diselesaikan dua kali sehari secara bersih tertunda. Walaupun kaedah ini berkesan, ia masih menanggung risiko kredit dan penyelesaian kerana dedahan kredit antara bank hanya dilunaskan dua kali sehari.
BNM berkata, dengan RENTAS+, kebanyakan risiko tersebut dapat diminimumkan apabila transaksi DuitNow termasuk pemindahan dana, pembayaran QR dan e-dagang kini diselesaikan secara masa nyata selepas setiap transaksi pelanggan selesai.
Payments Network Malaysia (PayNet) akan menyerahkan transaksi tersebut kepada RENTAS+ untuk penyelesaian segera.
Gabenor BNM, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pelancaran RENTAS+ menandakan pencapaian penting dalam pelan pemodenan sistem penyelesaian negara.
“RENTAS+ mengukuhkan daya tahan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia dan menyediakan platform penyelesaian yang selamat, boleh diperluas serta fleksibel bagi menyokong inovasi masa depan.
“Ia membuktikan komitmen BNM dalam memastikan RENTAS terus menjadi pemangkin utama kepada inovasi kewangan,” katanya. - DagangNews.com
standard


