
SANDAKAN: Seramai 83 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sungai Manila menyertai kelas tuisyen percuma.
Inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa itu diselaraskan oleh pegawai Adun Sungai Manila dengan penglibatan guru di Dewan Masjid Raya Seri Aman, Pekan Muhibah, Batu 12, di sini, dari jam 2 petang hingga 5 petang setiap Jumaat dan Sabtu. Kelas tuisyen itu membabitkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Hazem berkata, kelas tuisyen itu dilaksanakan sebagai usaha membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar, khususnya calon SPM.
“Ia bukan sekadar bantuan pendidikan, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing dalam kalangan anak Sungai Manila.
“Kita juga mahu melihat apabila berjaya kelak, anak-anak ini mampu mengubah masa depan keluarga serta membawa idea terbaik untuk memajukan kawasan ini,” katanya ketika merasmikan pusat tuisyen berkenaan di Kompleks Taman Cahaya, Pekan Muhibah, di sini, Rabu lepas.
Hadir sama Ketua Daerah Sandakan, OKK Zakaria Awang Maria. Hazem menegaskan kejayaan akademik memerlukan disiplin tinggi serta sokongan berterusan ibu bapa dan guru.
Beliau berkata pemilihan pelajar perintis program itu dibuat melalui beberapa peringkat saringan bagi memastikan peluang diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Ramai yang memerlukan program seperti ini. Justeru, saya berharap pelajar terpilih dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dan mencapai kejayaan dalam pelajaran,” katanya.
Menurutnya, subjek Sejarah turut dirancang untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada kelas tuisyen tersebut pada masa akan datang.




