
PETALING JAYA – Seramai 849 pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, termasuk 73 orang yang dikenakan hukuman buang kerja.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, seramai 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 orang yang dibuang kerja.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyelewengan kuasa atau pelanggaran integriti oleh mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Menurutnya, JIM memandang serius dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang dikaitkan dengan beberapa pegawai Imigresen di Kuala Lumpur seperti dilaporkan media dan dibangkitkan menerusi pelbagai platform media sosial.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan dakwaan berkenaan diminta menyalurkannya secara rasmi kepada pihak berkuasa termasuk JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pendedahan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri boleh menyebabkan pihak terlibat menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti.
Tambahnya, JIM sentiasa terbuka menerima sebarang maklumat berkaitan salah laku pegawai dan memberi jaminan setiap maklumat yang diterima akan disalurkan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan berkuat kuasa.
Zakaria berkata, jabatan itu akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur serta berlandaskan undang-undang. – KOSMO! ONLINE
The post 849 pegawai imigresen dikenakan tindakan tatatertib appeared first on Kosmo Online.






