87.6% pekerja memilih kekal dalam skim Lindung 24 Jam – Perkeso

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 3:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

87.6% pekerja memilih kekal dalam skim Lindung 24 Jam – Perkeso Image from: 87.6% pekerja memilih kekal dalam skim Lindung 24 Jam – Perkeso hamden09/09/2026 - 15:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept - Sebanyak 87.6% pekerja atau 8.5 juta orang memilih untuk kekal dalam skim Lindung 24 Jam selepas tempoh pilihan keluar daripada skim tersebut berakhir pada 31 Ogos lalu, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, angka itu mencerminkan keyakinan majoriti pekerja terhadap kepentingan perlindungan tambahan di luar waktu bekerja.

 

“Angka ini mencerminkan keyakinan majoriti pekerja terhadap kepentingan perlindungan tambahan di luar waktu bekerja, khususnya dalam menghadapi risiko kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sesi taklimat bersama media hari ini.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata jumlah keseluruhan caruman yang dikutip Perkeso di bawah skim berkenaan hanya akan didedahkan pada bulan depan.

 

Bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Ogos, Perkeso menerima sebanyak 6,330 tuntutan di bawah Lindung 24 Jam, dengan purata 69 kes sehari.

 

Bayaran tuntutan berjumlah RM9.97 juta, meliputi faedah hilang upaya sementara dan kekal, kos perubatan, pencen tanggungan serta sokongan pemulihan.

 

Bagaimanapun, Perkeso berkata 12.4% pekerja memilih untuk keluar daripada skim berkenaan, dengan 52% daripada mereka berpendapatan di bawah RM3,500 sebulan.

 

"Lebih separuh daripada kumpulan pekerja yang memilih untuk keluar itu pula berada di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya," katanya.

 

Sehubungan itu, Perkeso akan bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan penerangan mengenai manfaat Lindung 24 Jam kepada kumpulan pekerja terbabit.

 

Pekerja yang telah memilih untuk keluar juga masih diberi peluang menyertai semula skim tersebut melalui laman sesawang Perkeso.

 

Di bawah skim Lindung 24 Jam, pekerja mencarum sebanyak 0.75% daripada gaji bagi dua tahun pertama, sebelum meningkat kepada 1% untuk tiga tahun berikutnya dan 1.25% mulai tahun keenam.

 

 

 

 

 

Mengulas cadangan supaya kadar caruman disemak semula, Mohammed Azman berkata kadar semasa 0.75% adalah rasional dan antara yang terendah di dunia.

 

Skim Lindung 24 Jam dilancarkan pada 1 Jun lalu bagi melindungi pekerja daripada kemalangan atau kecederaan yang berlaku di luar waktu bekerja. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved