
KUALA LUMPUR: Seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) membuktikan kecaknaan dalam mempunyai perlindungan keselamatan sosial selepas waktu bekerja.
Angka itu mencerminkan keyakinan majoriti pekerja terhadap kepentingan perlindungan yang diperluaskan di luar waktu bekerja, terutama bagi menghadapi risiko kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan pada 1 Jun 2026 bertujuan memperluaskan perlindungan kepada pekerja mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk di luar waktu bekerja.
“Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, dalam setahun, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menghabiskan kira-kira 33 peratus untuk bekerja, termasuk tempoh perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.
“Ini bermakna baki 67 peratus atau kira-kira 244 hari dalam setahun, mereka tidak dilindungi sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu bekerja, sedangkan dalam tempoh itu seseorang masih kekal sebagai pekerja yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohammed Azman turut mendedahkan 52 peratus pekerja bergaji bawah RM3,500 dikenal pasti sebagai golongan terbesar daripada keseluruhan pekerja yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam.

Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana majoriti golongan berkenaan tidak mempunyai liputan insurans seperti dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Keadaan ini menjadikan mereka sebagai kelompok berisiko tinggi yang akan terjejas akibat kejutan kewangan sekiranya mereka ditimpa musibah di luar waktu bekerja.
“Data BNM 2024 turut mendedahkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, dan kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan B40 adalah jauh lebih rendah, iaitu sekitar 4 peratus.
“Lebih membimbangkan, golongan terbesar yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam ini kebanyakannya bekerja di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya yang merangkumi 53 peratus. Manakala 11 peratus adalah Johor, 9 peratus dari Pulau Pinang dan baki 27 peratus lagi mewakili lain-lain negeri," katanya.
Dr. Mohammed Azman menjelaskan bahawa negeri-negeri berkenaan mempunyai persamaan dari aspek kepadatan penduduk yang tinggi serta aktiviti ekonomi yang jauh lebih rancak dan dinamik, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan yang jauh lebih ketara.
Beliau menegaskan bahawa perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja, bukan pekerja yang menyesuaikan diri dengan perlindungan kerana jika hanya terhad kepada lokasi waktu bekerja, perlindungan itu tidak akan benar-benar menyeluruh.
“Pelaksanaan LINDUNG 24 Jam dilihat mula menampakkan keberkesanannya apabila dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaannya, dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026, sebanyak 6,330 tuntutan diterima PERKESO, dengan purata kira-kira 69 kes sehari.
“Daripada jumlah itu, jumlah keseluruhan bayaran faedah yang disalurkan mencecah RM9.97 juta.
“Bayaran berkenaan merangkumi pelbagai faedah termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, bayaran Ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta alat pemulihan dan implan,” katanya.
Baca juga:
PERKESO Santuni Anak-Anak Yatim, Ibu Tunggal Dan Penerima Faedah PERKESO Dan Pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023
Nak Opt-Out LINDUNG 24 Jam? 4 Perkara Ini Mungkin Buat Anda Fikir Semula
Hampir Opt-Out Caruman LINDUNG 24 Jam, Pekerja Syukur Terima Manfaat Selepas Kemalangan
Dr. Mohammed Azman berkata bayaran faedah untuk jangka pendek boleh berubah menjadi bayaran jangka panjang dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih 10 kali ganda daripada bayaran asal.
Untuk rekod, sebanyak 69 kes tuntutan diterima dalam sehari dengan purata tiga kes dilaporkan setiap jam.

Selain itu, terdapat kes membabitkan individu yang memilih untuk opt-out namun mengemukakan tuntutan faedah setelah ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.
Perkembangan itu membuktikan risiko kemalangan di luar waktu bekerja bukan sekadar kemungkinan, malah telah menyebabkan ribuan pekerja memerlukan sokongan perlindungan sosial dalam tempoh singkat pelaksanaan LINDUNG 24 Jam.
Kini, pekerja yang sebelum ini memilih opt-out, boleh menyertai semula LINDUNG 24 Jam pada bila-bila masa secara dalam talian di lindungfaedah.perkeso.gov.my tanpa tertakluk sebarang had tempoh untuk mencarum semula bermula 2 September lepas.
Pada masa sama, pekerja yang memilih untuk kekal dalam skim akan terus dilindungi selagi memenuhi syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), selaras dengan prinsip ‘Once In, Always In’.






