12.4 peratus pekerja pilih tidak carum Lindung 24 Jam

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 12.4 peratus pekerja pilih tidak carum Lindung 24 Jam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12.4 peratus pekerja memilih untuk tidak mencarum dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Daripada jumlah tersebut, 52 peratus pekerja yang memilih keluar daripada skim berkenaan bergaji di bawah RM3,500, manakala baki 48 peratus menerima gaji RM3,500 ke atas.

Mengikut pecahan negeri pula, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi pekerja yang memilih keluar iaitu 53 peratus, diikuti Johor (11 peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) dan negeri-negeri lain sebanyak 27 peratus.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal mencarum dalam skim berkenaan.

Beliau berkata, jumlah tersebut menunjukkan sebahagian besar pekerja memilih untuk terus mendapatkan perlindungan keselamatan sosial menerusi Lindung 24 Jam.

Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan apabila lebih separuh daripada pekerja yang memilih keluar terdiri daripada golongan bergaji bawah RM3,500 yang lebih memerlukan perlindungan sekiranya ditimpa musibah.

“Kami berharap mereka akan memikirkan semula dan mempertimbangkan kepentingan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau hilang upaya sehingga tidak mampu bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Perkeso di sini, hari ini.

Mengulas sama ada pekerja masih boleh memilih untuk keluar daripada skim itu, Mohammed Azman berkata, tempoh berbuat demikian sudah berakhir pada 31 Ogos lalu.

Katanya, pilihan untuk tidak menyertai skim tersebut tidak akan dibuka semula kerana tindakan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam sistem majikan dan Perkeso.

Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak mencarum masih boleh kembali menyertai skim Lindung 24 Jam dan membuat pilihan untuk mencarum pada bila-bila masa.

“Setakat ini, kira-kira 9,000 hingga 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih keluar sudah kembali menyertai skim Lindung 24 Jam.

“Siapa yang mahu ‘opt-in’, pada bila-bila masa boleh berbuat demikian kerana kita mahu, kalau boleh, semua pekerja mendapat perlindungan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Azman berkata, sebanyak 6,330 tuntutan diterima setakat 31 Ogos lalu dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM9.97 juta, manakala purata tuntutan ialah kira-kira 69 kes sehari.

Katanya, sebanyak 74 peratus pekerja yang membuat tuntutan bergaji bawah RM3,500, sekali gus menunjukkan kepentingan perlindungan berkenaan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Majoriti yang membuat tuntutan adalah golongan berpendapatan rendah dan golongan muda. Ini adalah berdasarkan data yang kita ada,” katanya. – UTUSAN

The post 12.4 peratus pekerja pilih tidak carum Lindung 24 Jam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved