LINDUNG 24 Jam: 8.5 juta pekerja kekal pilih perlindungan PERKESO

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 3:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LINDUNG 24 Jam: 8.5 juta pekerja kekal pilih perlindungan PERKESO

SHAH ALAM, 9 SEPT: Seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam), sekali gus menunjukkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan perlindungan sosial di luar waktu bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata hanya 12.4 peratus pekerja memilih untuk keluar atau ‘opt out’ daripada skim berkenaan, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, angka itu membuktikan majoriti pekerja menyedari risiko kemalangan tidak terhad ketika berada di tempat kerja.

“Dalam setahun, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menghabiskan kira-kira 33 peratus masa untuk bekerja termasuk perjalanan pergi dan balik.

“Baki 67 peratus atau kira-kira 244 hari setahun, mereka sebelum ini tidak dilindungi sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu bekerja,” katanya.

Mohammed Azman berkata LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan pada 1 Jun lalu memperluaskan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk di luar waktu bekerja.

Katanya, dalam tempoh tiga bulan pertama sehingga 31 Ogos, PERKESO menerima 6,330 tuntutan dengan bayaran faedah keseluruhan mencecah RM9.97 juta.

Jumlah itu bersamaan purata kira-kira 69 kes sehari atau hampir tiga kes setiap jam.

Bayaran tersebut merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta bantuan alat pemulihan dan implan.

Mohammed Azman berkata perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja tanpa terhad kepada lokasi atau waktu bekerja.

Beliau turut mendedahkan terdapat individu yang memilih keluar daripada LINDUNG 24 Jam tetapi kemudian mengemukakan tuntutan selepas ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.

“Ini membuktikan risiko kemalangan di luar waktu bekerja bukan sekadar kemungkinan, malah sudah menyebabkan ribuan pekerja memerlukan sokongan perlindungan sosial dalam tempoh singkat pelaksanaan skim ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved