
Kota Kinabalu: Seramai 87 kakitangan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menerima anugerah atas kecemerlangan perkhidmatan masing-masing bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen warga Muis dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pada masa sama katanya pencapaian berkenaan turut membantu meningkatkan kecekapan Muis dalam menyantuni pelanggan sekaligus mengangkat tahap khidmat pelanggan institusi agama Islam itu.
“Jadikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dan bukan titik henti untuk berasa selesa serta berpuas hati kerana perkhidmatan awam adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara.
“Segala dasar, rancangan and aspirasi yang digariskan oleh kerajaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan padu, tenaga, dan buah fikiran daripada barisan hadapan pelaksana dasar,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Muis 2021 hingga 2025 baru-baru ini.
Hadir sama Yang Dipertua Muis Datuk Seri Yahya Hussin dan Pegawai Eksekutif Muis Datuk Ramlan Ag Ali.
Dalam pada itu Isnin menasihatka menasihatkan warga Muis supaya mengekalkan prestasi cemerlang selain terus memperkukuh budaya kerja kreatif dan inovatif bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya ia penting kerana berkhidmat di bawah payung institusi hal ehwal Islam bukanlah sekadar mencari mata pencarian atau meniti tangga kerjaya semata-mata sebaliknya ia adalah satu amanah yang memikul tanggungjawab berat lagi mulia.
“Institusi agama perlu sentiasa relevan. Saya menyeru agar kita terus berinovasi dalam penyampaian dakwah dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita juga tidak boleh mendabik dada dengan pencapaian hari ini. Cabaran fitnah, isu-isu sosial dan keperluan pendidikan agama yang lebih dinamik menuntut warga kerja Muis untuk bekerja dengan lebih bijaksana dan berhikmah,” tegasnya.
Beliau turut menyambut baik kelulusan pengwujudan 198 jawatan dan gred bertaraf sementara di Muis, yang disifatkan sebagai perkembangan penting dalam memperkukuh kapasiti sumber manusia badan agama berkenaan.
“Jawatankuasa Perjawatan Negeri telah bersetuju dengan permohonan Muis untuk mewujudkan 198 pelbagai jawatan dan gred bertaraf sementara berkuatkuasa 18 Disember 2025 yang sudah menjadi tentu khabar gembira buat semua,” ujarnya.





