
PETALING JAYA: Perkhidmatan Dr. Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah berakhir pada 27 April lalu.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM memaklumkan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai ‘profesor’ di UIAM atau mewakili universiti dalam apa-apa perjawatan.
Sehubungan itu, sebarang penggunaan gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk afiliasi rasmi dengan UIAM adalah tidak dibenarkan.
“Untuk itu, penggunaan gelaran atau perjawatan yang berkait dengan UIAM adalah tidak dibenarkan dalam apa-apa bentuk bahan promosi, pelaporan media, penerbitan, pengiklanan, kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“UIAM juga berharap agar penjelasan yang diberikan dapat mengelakkan kekeliruan. Demi menjaga integriti dan kesarjanaan akademia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, Solehah menarik perhatian umum selepas video syarahan beliau tersebar di saluran Youtube yang mendakwa bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.
Beliau mendakwa bahawa hipotesisnya berhubung sejarah teknik pembinaan kapal tamadun Rom adalah berpaksikan sumber pembacaan Arab klasik.
Susulan itu, pada November tahun lalu, UIAM menubuhkan panel inkuiri dalaman untuk meneliti kenyataannya selaras dengan terma rujukan ditetapkan dalam menilai isu berkaitan integriti akademik. –UTUSAN
The post Solehah bukan lagi kakitangan akademik UIAM appeared first on Utusan Malaysia.





