
Sempena sambutan Hari Merdeka 2026, jenama kegemaran ramai 888 Tea & Coffee dengan bangganya melancarkan Bersama Kita Tertarik, sebuah kolaborasi lagu dan video muzik (MV) khas bagi meraikan identiti masyarakat majmuk Malaysia menerusi simbolik budaya teh tarik.
Dengan sokongan Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik, inisiatif ini mengetengahkan teh tarik bukan sekadar minuman harian di gerai mamak atau kopitiam, malah sebagai ejen perpaduan yang memulakan perbualan, merapatkan persahabatan, dan merakam kenangan manis rakyat Malaysia.
Angkat Teh Tarik Ke Mata Dunia Sempena VM2026-2027
Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (VM2026-2027), usaha ini turut berhasrat memperkenalkan seni penyediaan "tarik" dan keramahan budaya tempatan kepada pelancong antarabangsa menerusi pelancongan kulinari.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia berkata, teh tarik telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan gaya hidup masyarakat Malaysia yang menyatukan pelbagai generasi.
"Minuman ini melangkaui peranannya daripada sekadar minuman biasa, malah menjadi cerminan warisan kulinari dan keramahan masyarakat kita. Cita rasa unik ini memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan gastronomi terkemuka di peringkat global," jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif 888 Tea & Coffee, Alvin Ang See Ming menambah bahawa sebagai jenama tempatan yang bermula sejak tahun 1942, mereka sentiasa berpegang kepada tradisi yang menyatukan masyarakat.
"Kami percaya minuman bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi sebahagian daripada budaya dan kenangan. Menerusi lagu Bersama Kita Tertarik, kami ingin meraikan kebersamaan rakyat Malaysia dan menunjukkan bagaimana tradisi ringkas ini mampu mendekatkan kita tanpa mengira latar belakang," katanya.
Gabungan 3 Artis Tempatan Utama
Muzik video Bersama Kita Tertarik menghimpunkan tiga artis tempatan popular iaitu Alif Satar & The Locos, Danny Koo, dan Kidd Santhe. Gabungan pelbagai gaya muzik dan latar belakang ini melambangkan keharmonian serta keunikan masyarakat majmuk di Malaysia.

Produk Baharu: 888 Teh Tarik Malaysia
Bagi melengkapkan pelancaran MV ini, 888 Tea & Coffee turut memperkenalkan 888 Teh Tarik Malaysia baharu. Dihasilkan menggunakan ekstrak teh premium tanpa pewarna tiruan, produk ini menawarkan aroma dan tekstur lembut teh tarik tradisional dalam format sedia minum yang lebih praktikal untuk gaya hidup moden.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan produk baharu ini, layari laman web rasmi di 888teacoffee.com.my.




