
KAJANG: Seorang pemandu yang didakwa merempuh tiga beranak hingga maut di Jalan Batu 17, Hulu Langat di sini semalam direman empat hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, reman pemandu terbabit bermula hari ini.
“Siasatan kes ini masih dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, kejadian yang berlaku pada 7.56 pagi menyebabkan tiga beranak yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian selepas berlanggar dengan kereta dipandu lelaki berusia 42 tahun yang memasuki laluan mangsa.
Mangsa dikenali Hafifi Rahman Rahmat, 34; isterinya Nik Aishah Asilan Nik Mohd Zamzuri, 32 dan anak mereka berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal.
Semakan polis mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah selain ujian saringan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN
The post Pemandu rempuh tiga beranak direman empat hari appeared first on Utusan Malaysia.






