Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Ramai mungkin tertanya-tanya bagaimana pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebenarnya dikawal dan dipantau oleh pihak berkuasa.
Rupa-rupanya, bukan sekadar perlu berada di rumah, Najib juga tertakluk kepada beberapa syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara bagi memastikan beliau mematuhi baki hukuman yang sedang dijalani.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Jabatan Penjara turut mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk menetapkan syarat tambahan berkaitan kawalan, pemantauan dan pergerakan sepanjang tempoh tahanan rumah tersebut.
Jelas beliau, kesemua syarat tambahan bersama empat syarat utama Lembaga Pengampunan telah dibacakan kepada Najib dua hari sebelum beliau dibawa keluar dari penjara ke kediamannya di Jalan Langgak Duta.
“Kemudian, Penjara juga dibenarkan untuk mengadakan syarat-syarat yang bertujuan untuk menyediakan kawalan dan seliaan, juga arahan dan tatacara. Yang ini semua telah dibacakan kepada Dato’ Seri Najib pada dua hari lepas sebelum dikeluarkan daripada penjara dan dihantar ke Jalan Langgak Duta.”
Rumah Najib Diwartakan Sebagai Premis Penjara, 9 Pegawai Bertugas Ikut Syif
Bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan mengikut undang-undang, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta telah diwartakan sebagai premis penjara menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Penjara.
Susulan itu, seramai sembilan pegawai Jabatan Penjara ditugaskan untuk berkawal di rumah berkenaan secara bergilir-gilir dalam tiga syif, dengan tiga pegawai bagi setiap syif.
Selain itu, anggota polis turut ditempatkan untuk menjalankan kawalan keselamatan di kawasan kediaman tersebut.
“Jadi di rumah, kita ada pegawai penjara, tiga syif, tiga orang satu syif. Kita juga ada polis mengawasi secara omnipresent dan secara statik. Yang itu, kita cuma atur tugas sahajalah. Kalau dulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ. Jadi, tak ada kos tambahan.”
Tak Boleh Guna Telefon Sendiri, Nak Keluar Rumah Pun Kena Dapat Kebenaran
Dari segi komunikasi pula, Najib tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit atau sebarang alat telekomunikasi peribadi, sebaliknya, beliau hanya boleh menggunakan telefon khas yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi membolehkan pihak berkuasa berhubung serta mengesahkan keberadaannya di rumah.
Pergerakan keluar dari kediaman juga tidak dibenarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
“Tidak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis. Untuk pergi sembahyang Jumaat misalnya, kita akan bawa.”
Tetamu Pun Ada Syarat, Tak Boleh Terlibat Aktiviti Politik
Selain ahli keluarga yang dibenarkan dalam perintah berkenaan seperti isteri, anak-anak, menantu dan cucu, individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu sebelum boleh berkunjung.
Najib juga diwajibkan menghadiri program pemulihan dan intervensi yang ditetapkan. Dalam tempoh tahanan rumah, beliau turut tidak dibenarkan muncul dalam sebarang liputan media, media sosial, menghadiri majlis keramaian atau terlibat dalam aktiviti politik.
Menurut Saifuddin, syarat-syarat ini bukan hanya disediakan untuk kes Najib, sebaliknya turut menjadi persediaan bagi pelaksanaan tahanan rumah pada masa hadapan sekiranya terdapat kes yang seumpamanya.
“Ketika Kementerian Dalam Negeri membina syarat-syarat ini, kita kena pandang ke jauh. Syarat ini bukan hanya dibuat atau diadakan khusus untuk sekarang ini, Datuk Seri Najib, tetapi juga sebagai persiapan hari muka kalau ada kes yang seumpamanya.”
Langgar Syarat, Boleh Dihantar Semula Ke Penjara Kajang
Saifuddin turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran terhadap syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan perintah tahanan rumah tersebut dibatalkan.
Sekiranya perkara itu berlaku, Najib boleh dihantar semula ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara lain yang ditentukan oleh Komisioner Jeneral Penjara.
Ini bermakna, walaupun menjalani baki hukuman di kediaman sendiri, Najib tetap perlu mematuhi segala peraturan dan pemantauan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Sumber: Jawapan Lisan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






