95 Peratus Aduan Jalan Yang Dilaporkan Melalui Aplikasi MyJalan Telah Berjaya Diselesaikan

Digital
21 Aug 2025 • 4:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kementerian Kerja Raya baru-baru ini telah mengumumkan bahawa aplikasi MyJalan yang diperkenalkan mereka untuk tujuan memudahkan orang ramai membuat aduan tentang jalan rosak dan sebagainya telah berjaya membantu kementerian tersebut untuk mengenalpasti dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan jalan raya di Malaysia.

Aplikasi tersebut telah dilancarkan sekitar dua tahun lalu, pada bulan Ogos 2023, dan setakat ini, mempunyai 54,330 pengguna yang aktif menyalurkan aduan berkenaan keadaan jalan raya menerusi aplikasi tersebut.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sejak aplikasi tersebut dilancarkan, pihak kementeriannya telah menerima sebanyak 12,459 aduan setakat ini dan telah menyelesaikan sebanyak 11,860 daripadanya, ataupun sekitar 95 peratus daripada aduan-aduan yang telah diterima. 599 aduan yang belum diselesaikan sedang disiasat dan dikenalpasti tindakan selanjutnya dan akan diselesaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya kelak.

image is not available

Beliau mengatakan lagi bahawa secara teknikalnya, aplikasi MyJalan telah menerima sebanyak 40,938 aduan berkaitan jalan-jalan rosak sejak ia dilancarkan, tetapi hampir 70 peratus daripada aduan yang diterima adalah jalan-jalan yang bukan dibawah penyeliaan Kementerian Kerja Raya.

Dengan polisi “No Wrong Door” yang diimplimentasi oleh kerajaan, aduan-aduan ini telah dipanjangkan ke badan kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan, seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Perbandaran dan sebagainya.

Pihak Kementerian Kerja Raya juga sedang menjalankan projek pemulihan untuk Lebuhraya Timur-Barat yang bertujuan untuk menaiktaraf permukaan jalan, sistem lampu jalan dan infrastruktur lain bernilai RM100 juta. Projek pemulihan ini dijangka siap sekitar 2026 kelak.