99 juta tan biojisim sawit setahun buka laluan ekonomi baharu Malaysia - Noraini

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

99 juta tan biojisim sawit setahun buka laluan ekonomi baharu Malaysia - Noraini Image from: 99 juta tan biojisim sawit setahun buka laluan ekonomi baharu Malaysia - Noraini johardy21/09/2026 - 17:20 Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Keenam 2026 di Kuala Lumpur pada 21 September 2026. - Gambar KPK Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept - Malaysia mahu mengubah hampir 100 juta tan biojisim sawit yang dihasilkan setiap tahun daripada bahan buangan industri kepada sumber ekonomi bernilai tinggi, termasuk bagi pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF), biokimia dan bahan binaan kejuruteraan.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, negara menghasilkan kira-kira 99.43 juta tan biojisim sawit berdasarkan berat kering pada 2025.

 

Jumlah itu merangkumi pelepah dan batang sawit, tandan buah kosong, serabut mesokarp serta tempurung isirung sawit yang boleh diproses menjadi pelbagai produk komersial.

 

Menurut beliau, skala industri sawit Malaysia memberi negara asas kukuh untuk membangunkan ekonomi berasaskan biojisim, tetapi potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Sebahagian bahan berkenaan ketika ini dikembalikan ke ladang, digunakan sebagai bahan api di kilang atau diserap dalam proses pengeluaran sedia ada.

 

Namun, usaha mengkomersialkannya secara lebih meluas masih berdepan masalah pengumpulan, kos pengangkutan, ketidakseragaman bekalan dan kos pengeluaran.

 

“Angka ini menunjukkan terdapat peluang untuk kita memanfaatkan sumber biojisim dengan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Persidangan Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Keenam 2026 di Kuala Lumpur hari ini.


 

solar

 

solar


Daripada sisa ladang kepada SAF

Noraini berkata, tumpuan perlu diberikan kepada jenis biojisim yang boleh digunakan secara praktikal dan mempunyai daya maju komersial, disokong teknologi bersesuaian, rantaian bekalan yang boleh dipercayai serta permintaan pasaran mencukupi.

 

Dalam sektor pertanian, biojisim sawit boleh diproses menjadi baja organik dan bahan pemulih tanah, manakala sektor pembuatan menawarkan peluang menghasilkan produk bernilai lebih tinggi seperti biokimia, nanaseliulosa, biokomposit dan kayu sawit kejuruteraan.

 

Bahan itu juga boleh digunakan untuk pengeluaran pulpa dan kertas, sekali gus memperluas sumber pendapatan industri sawit melangkaui minyak sawit mentah.

 

Menurut Noraini, minat turut meningkat terhadap penggunaan minyak tandan buah kosong atau empty fruit bunch oil (EFB oil) sebagai bahan suapan bagi SAF dan biobahan api generasi kedua.

 

Perkembangan itu berpotensi membuka pasaran baharu kepada Malaysia ketika industri penerbangan dan pembuatan global mencari bahan mentah rendah karbon bagi memenuhi sasaran kelestarian.

 

Cabaran sebenar ialah pengkomersialan

Bagaimanapun, Noraini berkata, kejayaan sektor itu tidak boleh bergantung kepada pembangunan teknologi semata-mata kerana hasil penyelidikan perlu dibawa melepasi peringkat pengujian sehingga mencapai penggunaan komersial.

 

Proses berkenaan memerlukan kerjasama kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri, institusi kewangan, pengusaha kilang sawit, pekebun kecil, penyedia teknologi dan komuniti tempatan.

 

Beliau berkata, kaedah pembiayaan yang tepat boleh membantu projek berdaya maju bergerak daripada fasa perintis kepada operasi komersial, selain memastikan manfaat ekonomi biojisim dikongsi di seluruh rantaian nilai.

 

Malaysia sudah memiliki beberapa kelebihan, termasuk industri minyak sawit berskala besar, keupayaan penyelidikan, pengetahuan teknikal serta pengalaman melaksanakan piawaian kelestarian.

 

Namun, langkah seterusnya ialah memperkukuh penyelarasan industri, mempercepat pengkomersialan dan mengenal pasti pasaran domestik serta antarabangsa bagi produk biojisim tempatan.

 

“Potensi biojisim kelapa sawit sudah lama dibincangkan. Tumpuan kini perlu diberikan kepada bagaimana penyelidikan boleh diaplikasikan, teknologi dikomersialkan dan projek yang berjaya diperluaskan,” katanya. — DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved