Polis kesan saksi kes Ebit Lew

5 Apr 2022 • 9:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengesan saksi bagi membantu siasatan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ia adalah proses bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum pendakwaan dibuat.

"Selain itu, polis juga sedang mengemas kini kertas siasatan berhubung kes ini daripada laporan-laporan yang lama dan saya enggan mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu kes membabitkan pendakwah berkenaan.

Pada Februari lepas, Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkait gangguan seksual di Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah.

Mahkamah membenarkan Ebit Lew dilepaskan dengan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin sementara perbicaraan kes dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama