
SIPITANG: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sipitang menggesa Jabatan Air Sabah (JAS) segera menangani isu bekalan air di Sipitang.
Ketuanya Sani Miasin dalam satu kenyataan di sini pada Selasa, berkata Jabatan perlu segera mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan masalah air di Sipitang dan Sindumin yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Beliau berkata, gangguan air merupakan salah satu masalah utama yang sering dihadapi oleh penduduk kampung di kawasan parlimen Sipitang.
“Hampir setiap hari Pemuda Umno Sipitang menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah ketiadaan bekalan air. Malah, terdapat kampung yang menghadapi masalah air sehingga berminggu-minggu.
“Keadaan bertambah buruk apabila kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menyebabkan saluran paip pecah, kelewatan mengalihkan saluran paip daripada jajaran jalan raya, masalah tekanan dan kerosakan pam di loji-loji air,” katanya.
Sani mengulas laporan tular di media sosial berhubung lebih 300 penduduk di Sipitang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap gangguan bekalan air yang disebabkan oleh saluran paip pecah yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di kawasan berkenaan.
Selepas dua minggu tiada bekalan, penduduk dari beberapa kampung di daerah ini berhimpun di Jalan Pantai Sindumin, pada Isnin, bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
Penduduk kampung berhimpun sejak awal pagi untuk mendapat penjelasan daripada wakil kontraktor dan menuntut supaya paip yang rosak dibaiki segera supaya bekalan air dapat dipulihkan.
Sani berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk kampung, khususnya umat Islam semasa Ramadan.
“Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan serta atas inisiatif sendiri membeli air bersih di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian,” katanya.
“JAS dan pihak berkenaan perlu bertindak proaktif menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke lokasi yang sering berlaku gangguan bekalan air, lebih-lebih lagi pada musim Ramadan ini,” tambahnya.
Sani mahu Pengarah baharu JAS dan pegawainya turun padang, meninjau dan mencari jalan menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Sipitang.
Menurutnya, kegagalan JAS menyelesaikan masalah air di Sipitang akan menjejaskan nama baik Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Kerajaan GRS-BN amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini, namun sekiranya jabatan kerajaan berkaitan gagal bertindak dan menangani masalah rakyat, nama baik Kerajaan GRS-BN akan terjejas.
Beliau juga memohon agar Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob bersama-sama tampil membantu penduduk kampung yang terjejas.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
