A.R.I.F. ceriakan musim cuti sekolah, 1,500 raikan sambutan ulang tahun pertama di Petrosains

LocalFamily & Parenting
23 May 2026 • 5:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: A.R.I.F. ceriakan musim cuti sekolah, 1,500 raikan sambutan ulang tahun pertama di Petrosains
Pengunjung cilik meraikan sambutan ulang tahun pertama A.R.I.F. di Petrosains Suria KLCC pada Sabtu.
Image from: A.R.I.F. ceriakan musim cuti sekolah, 1,500 raikan sambutan ulang tahun pertama di Petrosains
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad (empat dari kanan) dan Shamini (tiga dari kiri) meraikan sambutan A.R.I.F’s ONE-derland di Petrosains Suria KLCC pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Maskot Petrosains, A.R.I.F. terus mencuri perhatian pengunjung apabila sambutan ulang tahun pertamanya diraikan meriah bersama 1,500 pengunjung bersempena cuti sekolah di Petrosains Suria KLCC pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Hubungan Pihak Berkepentingan dan Komunikasi Petrosains, B Shamini berkata, A.R.I.F. (A Resourceful Intelligent Friend) menjadi inspirasi kepada kanak-kanak untuk terus mencintai ilmu pengetahuan sambil menerokai bidang sains.

Melalui personalitinya yang ceria dan mesra, beliau berkata, A.R.I.F. membantu menjadikan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) lebih menyeronokkan, interaktif buat semua lapisan masyarakat.

"A.R.I.F. diwujudkan untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak supaya terus belajar, meneroka dan memahami kepentingan ilmu pengetahuan.

"Bukan sahaja kanak-kanak, malah ibu bapa juga teruja dan terinspirasi dengan karakter maskot pendidikan kami sekali gus menjadi pengaruh positif kepada masyarakat," katanya pada sambutan A.R.I.F.'s ONE-derland di sini.

**media[3530513]**

Shamini berkata, inisiatif seperti sambutan A.R.I.F.’s ONE-derland itu memperkukuhkan kepentingan pendedahan awal terhadap STEM menerusi pembelajaran berasaskan permainan dalam usaha menyemai minat berterusan terhadap sains dan teknologi.

Tambah beliau, beberapa teras utama iaitu interaksi, kreativiti, pembelajaran dan hubungan komuniti menerusi pelbagai pengalaman interaktif sepanjang hari diketengahkan dalam program itu.

"Lebih daripada sekadar hiburan, sambutan ini menunjukkan bagaimana pembelajaran berasaskan pengalaman mampu memupuk rasa ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda.

"Petrosains terus komited menjadikan sains lebih mudah diakses, inklusif dan menarik untuk semua lapisan masyarakat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Petrosains kini mempunyai empat pusat satelit di Johor Bahru, Johor Kuantan, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah selain bakal membuka pusat baru di Kuching, Sarawak tidak lama lagi.