
Beliau berkata cadangan itu bukan sahaja melibatkan juruterbang, malah turut merangkumi kru penerbangan.
BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan sekali, sebagai langkah memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata cadangan itu akan dibincangkan menerusi kerjasama lebih erat antara AADK dan Malaysia Aviation Group (MAG), termasuk melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka ditandatangan bulan depan.
“Kerjasama kita dah buat sebelum ini tetapi berkala. Mungkin untuk kali ini kita kerapkan sedikit dan cadangannya sebulan sekali kita boleh buat secara rambang.
“Kalau ada keperluan, kita boleh juga untuk kes-kes tertentu pendekkan lagi tempoh,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan strategik, ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok hari ini.
Ruslin berkata ketika ini pihak MAG mempunyai hospital dan klinik panel serta doktor terlatih untuk menjalankan ujian urin, namun AADK melihat keperluan melaksanakan ujian secara rambang sebagai langkah tambahan.
Beliau berkata cadangan itu bukan sahaja melibatkan juruterbang, malah turut merangkumi kru penerbangan.
“Antaranya adalah untuk memberikan ruang kepada kedua-dua pihak iaitu MAG dan AADK, bekerjasama dalam program-program pencegahan dan juga ujian urin,” katanya.
Mengenai saringan yang sedang dijalankan terhadap juruterbang, Ruslin berkata ia dijangka selesai pada 15 Sept ini dan setakat laporan yang diterima pihaknya, kesemua juruterbang yang telah menjalani ujian berkenaan didapati negatif.
Beliau berkata lebih 1,000 juruterbang terlibat dalam saringan berkenaan
Dalam pada itu, Ruslin berkata kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan draf MoU berkenaan dan berharap ia dapat ditandatangan pada Oktober depan.





