MOT, CAAM perketat pemeriksaan juruterbang, kru kabin susulan insiden MAS: Loke

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 3:49 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: MOT, CAAM perketat pemeriksaan juruterbang, kru kabin susulan insiden MAS: Loke

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengambil langkah drastik memperketat pemeriksaan keselamatan terhadap semua juruterbang, kru kabin, dan petugas penerbangan di seluruh negara.

Tindakan itu diambil susulan kes membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang ditahan kerana dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Menterinya, Anthony Loke menegaskan langkah mengetatkan saringan itu adalah tindakan serta-merta yang boleh dilaksanakan kementeriannya ketika ini, memandangkan siasatan terperinci masih berada sepenuhnya di bawah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya masih tidak mendapat maklumat mengenai butirannya…Kami membaca laporan bahawa beberapa tangkapan telah dibuat, jadi adalah lebih baik pihak polis yang membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam ke-61 bagi Rantau Asia Pasifik (DGCA/61) di sini hari ini.

Beliau menegaskan MOT sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk membongkar sebarang laluan lapangan terbang yang mungkin disalah guna.

“Siasatan ini di bawah bidang kuasa polis. Mereka tidak berkewajipan untuk memaklumkan kepada kita atau berbincang dengan kita mengenai perkembangan siasatan, namun kita akan memberikan kerjasama dengan menyediakan apa sahaja maklumat atau akses yang diperlukan sama ada kemudahan atau lapangan terbang kita, selain mana-mana petugas yang ingin mereka temui atau siasat,” katanya.

Rangkaian sindiket diserbu

Siasatan ke atas skandal ini menyaksikan perkembangan baharu pada 4 Sept lepas apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan enam lelaki tempatan.

Tangkapan itu dibuat selepas pasukan JSJN dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lalu bagi menyoal siasat pembantu juruterbang berumur 39 tahun terbabit.

Suspek sebelum ini ditahan oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Pihak berkuasa Indonesia merampas 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta.

Dalam perkembangan berasingan berhubung gangguan penerbangan akibat abu gunung berapi di Jakarta, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan ruang udara Malaysia kini menjadi hab sokongan bagi pesawat terjejas.

“Bagi Malaysia, kami membantu mereka dengan menyediakan lapangan terbang alternatif. Jadi, penerbangan yang menuju ke Jakarta, sebahagian pesawat dilencongkan ke KLIA. Kami membantu mereka dari aspek itu,” katanya. - 7 September, 2026

The post MOT, CAAM perketat pemeriksaan juruterbang, kru kabin susulan insiden MAS: Loke appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved