
RANAU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan operasi saringan urin khas di dua kemudahan di Gunung Kinabalu pada Selasa.
Operasi berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada usaha mengesan penyalahgunaan dadah selain memperkukuh langkah pencegahan dalam kalangan pekerja.
Op Urin Khas itu dijalankan oleh AADK Ranau dengan kerjasama AADK Tuaran dan Taman-Taman Sabah.
Seramai 11 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi yang dilaksanakan di Pusat Latihan Larian Ketinggian Tinggi Gunung Kinabalu dan Sub-Stesen Panalaban.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Sabah Joannes Yabin turut hadir bagi memantau pelaksanaan operasi berkenaan.
Operasi itu juga mencerminkan kerjasama berterusan antara AADK dan Taman-Taman Sabah dalam memantapkan usaha pencegahan dadah dalam kalangan warga kerja di kemudahan terbabit.
Agensi itu menyatakan bahawa kerjasama sedemikian amat penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan bebas daripada dadah.
Penglibatan AADK Daerah Ranau dan Tuaran bersama Taman-Taman Sabah juga menunjukkan kesepakatan serta koordinasi mantap antara agensi dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan.






