AADK saring semua juruterbang

LocalHealth & Fitness
1 Oct 2026 • 9:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AADK saring semua juruterbang

PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memulakan ujian saringan air kencing secara berkala dan pemeriksaan mengejut (spot check) terhadap juruterbang dan kru kabin Malaysia Aviation Group (MAG) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kerjasama berkenaan kini dalam proses dimuktamadkan menerusi me­mo­randum persefahaman (MoU) antara AADK dan MAG.

Katanya, cadangan pelaksa­naan ujian saringan itu bukan sahaja melibatkan juruterbang malah turut merangkumi kru penerbangan lain bagi memastikan sektor penerbangan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Antara cadangannya adalah dari segi ujian urin secara berkala dan spot check. Kita akan kemukakan cadangan itu.

“Perbincangan bagi memuktamadkan MoU berke­naan sedang berjalan dan sa­saran untuk dimeterai an­tara AADK dengan MAG dijangka bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kata beliau, kerjasama secara rasmi antara kedua-dua agensi penting bagi memastikan usaha membentuk tempat kerja bebas dadah dalam sektor penerbangan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

Ruslin berkata, AADK sebelum ini turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap juruterbang MAG sebanyak dua kali pada tahun lalu.

“Hasrat saya sebenarnya adalah agar bidang penerbangan ini bebas daripada dadah. Bukan sekadar di pejabat-pe­jabat kerajaan sahaja tetapi semua penerbangan pun perlu bebas kerana ia lebih melibatkan kepentingan keselamatan awam.

“Cadangan kita telah kemukakan, jadi kita tunggu pe­rincian. Bagi saya, benda ini positif dan pihak MAG juga memberi maklum balas positif untuk bekerjasama dengan AADK,” jelasnya.

Sebelum ini, AADK mencadangkan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai langkah memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hampir setiap hari pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah termasuk bunga ganja dari negara ini susulan peningkatan saringan di lapangan terbang.

Tindakan itu susulan kes seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia dan AKPS diberikan tanggungjawab un­tuk menyelaras­kan saringan bersama pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang KLIA 1 dan 2.

MAG sebelum ini memaklumkan, semua juruterbang Malaysia Airlines yang masih bertugas disahkan bebas dadah susulan saringan mandatori dijalankan selepas seorang pegawai kedua ditahan di Indonesia akhir Julai lalu.

MAG turut melaporkan, semua 2,840 kru kabin syarikat penerbangan nasional itu menjalani sa­ringan dadah.

Saringan sama dilakukan ke atas 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly.

Menurut MAG, lebih se­paruh daripadanya telah disaring seta­kat ini, dengan semuanya di­­sahkan ne­gatif dadah. – UTUSAN

The post AADK saring semua juruterbang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved