
PETALING JAYA: Eksperimen ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Herry Iman Pierngadi terhadap gandingan Aaron Chia-Aaron Tai sudah mula menunjukkan hasilnya, apabila pasangan itu mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, hari ini.
Beregu yang tidak sampai dua minggu dipasangkan bersama itu membenam wakil tuan rumah, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng 24-26, 21-19, 21-16 dalam masa 61 minit pada separuh akhir.
Esok, beregu yang dikenali dalam kalangan peminat sebagai ‘double Aaron’ itu bakal berdepan gandingan ke-78 dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia.
Aaron (Chia) berkata, aksi separuh akhir berdepan Cheng Kuan-Kuang Heng tidak mudah, lebih-lebih lagi beregu tuan rumah itu mendapat sokongan padu daripada penonton.
“Saya rasa ini adalah salah satu pencabar paling sukar untuk minggu ini dan esok, kami ada satu lagi perlawanan. Saya rasa bukan mudah untuk bermain menentang beregu tuan rumah.
“Mereka memberi kami banyak tekanan, tetapi kami gembira kerana berjaya mengatasinya,” kata Aaron sewaktu ditemu bual oleh wakil BWF selepas perlawanan berakhir.
Ketika ditanya tentang pesanan yang diberikan kepada Aaron (Tai) yang masih cetek pengalaman, pemain berusia 29 tahun itu memberitahu, dia lebih banyak memainkan peranan untuk menenangkan juniornya itu.
“Saya rasa dia melakukan tugas yang hebat, hari ini. Sudah tentu set pertama itu agak penting bagi kami, tetapi nasib baik kami berjaya mengatasinya semasa dalam set penentuan,” ujarnya.
Mengulas mengenai strategi menjelang final, esok, Aaron mengakui, selepas dipaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan, hari ini, mereka sememangnya amat memerlukan rehat secukupnya.
“Saya rasa kami akan berbincang dengan jurulatih kami dan juga rakan beregu saya. Kami perlukan lebih masa untuk berehat dan proses pemulihan,” kata Aaron yang kini menghuni ranking ke-378 dunia sejak digandingkan bersama juniornya itu. – UTUSAN
The post Aaron-Aaron semakin ‘berbisa’, mara ke final Terbuka Taiwan appeared first on Utusan Malaysia.






