Keyakinan diri bawa Pearly-Thinaah ke final Terbuka Taiwan

1 Aug 2026 • 6:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keyakinan diri bawa Pearly-Thinaah ke final Terbuka Taiwan

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menyifatkan kejayaan mara ke pentas akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan, hari ini, adalah hasil daripada keyakinan diri dan komunikasi yang semakin baik.

Gandingan No. 5 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-27 dunia, Francesca Corbett-Jennie Gai dari Amerika Syarikat 21-15, 21-17 dalam masa 36 minit pada separuh akhir di Taipei City.

Kemenangan itu juga menyaksikan bekas beregu No. 2 dunia tersebut kini semakin menjarakkan rekod pertemuan dengan Corbett-Jennie kepada 3-0.

Thinaah berkata, dia dan Pearly sering membincangkan tentang pentingnya komunikasi dan keyakinan ketika berada di dalam gelanggang.

“Saya rasa itu adalah satu perkara yang sering kami katakan antara satu sama lain, komunikasi dan keyakinan yang perlu kami bina untuk setiap mata dan setiap rali.

“Saya rasa masih ada perkara yang perlu kami usahakan, tetapi ini adalah sesuatu positif yang boleh kami ambil. Buat masa ini, kami hanya mahu makan, tidur dan pulih dengan baik untuk perlawanan akhir esok,” katanya sewaktu ditemu bual oleh wakil BWF.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, faktor kemenangan, hari ini, juga adalah disebabkan mereka saling mempercayai antara satu sama lain dan mempercayai pukulan masing-masing.

“Saya rasa itulah yang sangat membantu kami dalam perlawanan hari ini,” kata Thinaah.

Sementara itu, Pearly pula ketika ditanya tentang isu kecergasannya selepas pulih daripada kecederaan belakang memberitahu, statusnya pada ketika ini masih belum boleh dikatakan pulih sepenuhnya, tetapi, ia semakin baik.

“Pergerakan kami di dalam gelanggang, penggiliran, komunikasi kami ketika beraksi, saya rasa ia semakin baik.

“Tetapi seperti yang saya katakan, kami masih perlu menunjukkan peningkatan hari demi hari dan terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki bersama,” ujarnya.

Pada perlawanan akhir, esok, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama bakal berdepan beregu Jepun yang menghuni ranking ke-71 dunia, Sumire Nakade-Miyu Takahashi.

Ini merupakan pertembungan sulung kedua-dua beregu dalam Jelajah Dunia BWF dan peluang terbaik Pearly-Thinaah merangkul gelaran kedua tahun ini, selepas menjuarai Indonesia Masters pada Januari lalu. – UTUSAN

The post Keyakinan diri bawa Pearly-Thinaah ke final Terbuka Taiwan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved